Pulau Pinang sokong usaha tuntut Pulau Batu Puteh

Pulau Pinang sokong usaha tuntut Pulau Batu Puteh

Lim Guan Eng berkata, Pakatan Harapan tidak mempolitikkan hal ehwal luar negara.

lim-guan-eng-pedro
GEORGE TOWN:
Kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan pembangkang yang sering menentang Putrajaya hari ini menyokong usaha kerajaan persekutuan menuntut kembali Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak mempolitikkan hal ehwal luar negara.

“Kami sudah cakap banyak kali tidak akan mempolitikkan hal ehwal luar negara. Dalam hal ini, kami akan berdiri bersama kerajaan persekutuan untuk mendapatkan semula pulau itu.

“Kami berdiri bersama (kerajaan persekutuan) apabila ia berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Datuk Keramat hari ini.

Setiausaha agung DAP itu berkata, kerajaan negeri juga berharap kerajaan persekutuan akan berbuat demikian kepada Pulau Pinang.

“Kami berharap mereka juga akan menyokong kerajaan negeri bagi memastikan kesucian dan integriti Pulau Pinang terpelihara sebagai sebuah daripada 13 negeri di Malaysia.

“Kami tidak akan benarkan kerajaan negeri dihapuskan,” katanya merujuk cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia dan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata, Malaysia sudah memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

The Straits Times melaporkan penemuan 3 dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari lalu.

Dalam siaran media melalui laman sesawangnya pada Jumaat, ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan sebuah peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an.

Menurut ICJ, Malaysia mendakwa dokumen berkenaan membentangkan fakta baharu mengenai pegawai tertinggi dalam pentadbiran tanah jajahan Britain dan Singapura memperakukan Pulau Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.

Singapura sudah menubuhkan sebuah pasukan perundangan untuk mengkaji permohonan Malaysia.

Bagaimana Malaysia temui fakta baharu Pulau Batu Puteh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.