Nahas bot Sabah: 1 mayat ditemui, tekong dipenjara

Nahas bot Sabah: 1 mayat ditemui, tekong dipenjara

Lima pelancong dan seorang anak kapal masih hilang pada hari ke-8 misi pencarian.

sabah_boat_jail_6002
PETALING JAYA:
Satu mayat wanita ditemui di perairan Sabah berhampiran lokasi sebuah bot katamaran karam minggu lalu, lapor The Star Online.

Tekong bot pelancong yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu, dijatuhi hukuman penjara 6 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini, selepas dia mengaku bersalah membawa muatan melebihi had.

Hari ini masuk hari ke-8 misi pencarian di perairan Sabah, Miri dan Brunei.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, nelayan tempatan menemui 1 mayat wanita berseluar hitam dan berbaju merah tersangkut pada pukat tunda mereka di perairan antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga, kira-kira 9.25 pagi tadi.

Katanya, mayat itu ditemui kira-kira 13 batu nautika timur laut daripada tempat bot karam serta 20 batu nautika barat laut Pulau Tiga.

Beliau berkata, pasukan penyelamat percaya 6 mangsa yang masih hilang, iaitu 5 pelancong China dan seorang anak kapal, mungkin terperangkap di dasar laut.

Sementara itu, The Star Online melaporkan tekong, Sharezza Salian, 25, yang mempunyai 7 beradik merayu mahkamah memberi hukuman ringan dengan alasan keluarganya miskin dan perlu menjaga ibu bapanya.

Bagaimanapun, tiada rayuan direkodkan untuk pemilik bot itu, Leong Vin Jee, 44. Dia diminta kembali ke mahkamah pada Isnin kerana memerlukan seorang penterjemah.

Mahkamah membenarkan Leong dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap 15 haribulan.

Dia juga dilarang meninggalkan rumah dan perlu melaporkan kepada mahkamah jika mahu meninggalkan daerah.

Sharezza dan Leong dituduh membawa penumpang melebihi had dibenarkan kira-kira jam 9.15 pagi, 28 Januari lalu.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Pang Yuk Ming berkata, sebuah jawatankuasa siasatan bersama ditubuhkan bagi menyiasat nahas itu dan laporan awal akan dikeluarkan minggu depan.

Kerajaan Sabah berikrar akan mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan pelancong asing. Tahun lalu, lebih 340,000 pelancong China melawat Sabah.

Bot katamaran itu karam kira-kira sejam selepas meninggalkan jeti Tanjung Aru, tetapi syarikat bot itu hanya melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa 12 jam selepas ia meninggalkan jeti.

Dalam tragedi hujung minggu lalu itu, bot katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan 3 anak kapal itu karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini, 22 mangsa dijumpai selamat dan 3 maut.

APMM teruskan operasi cari 6 mangsa bot karam

Bot karam: 2 jaket keselamatan ditemui

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.