
“Saya mengesyorkan pihak polis merujuk Jamal Yunos untuk pemeriksaan kewarasan di Tanjung Rambutan dan melindungi keselamatan orang awam daripada ancaman beliau,” katanya dipercayai merujuk Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.
Zuraida yang sebelum ini sering bertikam lidah dengan Jamal, menyifatkan ketua Umno Sungai Besar itu “tidak waras” susulan beberapa aksi protes termasuk “protes tuala” di luar Bangunan SUK, Shah Alam, Disember lalu, bagi membantah gangguan bekalan air di Lembah Klang.
“Jamal yang tidak waras setakat ini melakukan adegan termasuk berkeadaan hampir bogel di tengah jalan beberapa bulan yang lalu, beliau menyimbah cat pada wanita dan secara membuta-tuli menuduh dipukul sedangkan rakaman video membuktikan sebaliknya,” kata ketua Wanita PKR itu dalam kenyataan hari ini.
Pada 21 Disember lalu, Jamal berjalan ke bangunan pentadbiran kerajaan negeri Selangor di Shah Alam dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan bekalan air di Lembah Klang.
Semalam, polis mengumumkan Jamal dan 9 pengikutnya ditahan atas dakwaan rompakan berkumpulan.
Ia selepas laporan beberapa kecurian berlaku ketika Jamal dan berpuluh-puluh pemuda menyerbu sebuah pusat permainan video di Ampang Disember lalu.
Zuraida berharap penahanan Jamal perlu menjadi peringatan kepada semua pihak supaya tidak bertindak sendiri menyerbu mana-mana premis.
Katanya, polis sekalipun perlu mematuhi prosedur sebelum melakukan sebarang serbuan.
“Orang awam seperti Jamal harus serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan ke atas apa-apa aduan. Terdapat saluran betul untuk menangani perkara seperti ini dan saya percaya polis peka terhadap aktiviti sedemikian.”
Zuraida turut menggesa polis menyiasat dakwaan Jamal mengenai pusat hiburan dijadikan pusat perjudian haram dan jika benar, pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan terhadap aktiviti haram itu.
Jamal berkemban ke pejabat kerajaan Selangor bantah gangguan bekalan air