
Jabatan kesihatan pada Disember berkata ia akan mengedarkan bahan pencegah kehamilan di sekolah sebagai sebahagian strategi mencegah jangkitan HIV, tetapi langkah itu dikritik wakil rakyat dan biskop di negara Katolik itu.
Filipina berdepan peningkatan epidemik HIV, dan kerajaan didakwa gagal mempromosikan pencegah kehamilan dan tidak memberi pendidikan seks pada lelaki gay atau biseksual.
Bagaimanapun, jabatan pendidikan awal minggu ini berkata ia tidak akan membenarkan pengedaran kondom di sekolah rendah dan menengah kerana undang-undang hanya memberi mandat kepada jabatan itu untuk menyediakan “pendidikan seksualiti”.
“Kami sensitif terhadap perasaan ibu bapa dan daripada maklum balas diterima mereka tidak bersetuju dengan idea itu.
“Ibu bapa berpendapat ia akan menghantar isyarat salah kepada pelajar yang tidak mengapa untuk melakukan seks sebelum kahwin dan masih bawah umur asalkan menggunakan pencegahan kehamilan,” kata Penolong Setiausaha Pendidikan Tonisito Umali.
Akses kepada pencegah kehamilan masih menjadi isu perbalahan di Filipina, dengan gereja Katolik membantah undang-undang dan program yang mahu mengedarkan kondom kepada golongan miskin.
Presiden Rodrigo Duterte mencabar gereja, dan pada bulan lalu beliau mengarahkan agensi kerajaan menghantar bahan pencegah kehamilan kepada 6 juta wanita bagi menggalakkan program perancangan keluarga.
Jabatan kesihatan juga melancarkan pelan untuk membendung penyebaran HIV terutama dalam kalangan rakyat berumur antara 15 hingga 24 tahun, yang dikatakan paling terdedah kepada jangkitan itu.
Jurucakap jabatan kesihatan Eric Tayag berkata pihaknya akan terus mengedar kondom di klinik dan misi bantuan walaupun kementerian pendidikan membuat keputusan sebaliknya.
“Kami tidak kecewa kerana perbualan mengenai akses kepada kondom kini lebih terbuka, sedangkan ia sebelum ini sesuatu yang terlarang,” katanya.
Tayag berkata pengkritik keliru antara pencegahan HIV dengan perancangan keluarga.
“HIV di Filipina kebanyakannya berlaku bila anda melakukan seks tidak selamat; hubungan seks lelaki dengan lelaki. Tidak ada sesiapa yang hamil dalam kumpulan seperti itu.
“Bagi mereka yang pernah melakukan hubungan seks, kami menyasarkan untuk mengurangkan risiko dan salah satunya ialah kondom,” katanya.
Persidangan Biskop Katolik Filipina berkata pemberian kondom kepada pelajar hanya “pembaziran duit rakyat”.