Najib: Doktor sanggup bayar RM200 sertai misi bantu Rohingya

Najib: Doktor sanggup bayar RM200 sertai misi bantu Rohingya

Misi 'Food Flotilla for Myanmar' membawa 2,200 tan bantuan, termasuk makanan dan ubat serta lebih 200 sukarelawan dari 13 negara.

najib-Misi-'Food-Flotilla-for-Myanmar'-
PELABUHAN KLANG:
Misi bantuan kemanusiaan “Food Flotilla for Myanmar” menunjukkan nasib etnik Rohingya tidak diabaikan rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata, usaha untuk membela penderitaan etnik itu mula dibangkitkan ketika Perhimpunan Agung Umno lalu, seterusnya membawa kepada penganjuran Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada Disember 2016.

“Kemudian disusuli mesyuarat luar biasa oleh Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini. Saya tak fikir kosnya, saya nak juga OIC berhimpun di Kuala Lumpur (bincang isu Rohingya).

“Kita tidak akan terus diam diri dan puas hati dengan usul dan retorik. Apa saya nak cakapkan di sini cukuplah segala penderitaan etnik Rohingya…enough is enough. Kita susuli dengan misi bantuan kemanusiaan ini,” katanya sebelum menyempurnakan pelepasan kapal Nautical Aliya yang membawa misi bantuan kemanusiaan itu di Boustead Cruise Centre, hari ini.

Turut bersama Najib menyempurnakan majlis pelepasan itu ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Misi “Food Flotilla for Myanmar” yang diketuai Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim itu dianjurkan KP1M dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.

Perdana menteri dalam pada itu amat terharu dengan persiapan misi berkenaan yang membawa 2,200 tan bantuan, termasuk makanan dan ubat.

“Mulanya saya tidak fikir kapal ini mampu disediakan. Saya lihat sendiri atas kapal 2,200 tan bantuan makanan dan ubat, satu rekod luar biasa. Inilah yang kita akan serahkan kepada etnik Rohingya kelak.

“Saya juga terharu dengan kesanggupan lebih 200 sukarelawan dari 13 negara sertai misi ini. Ada doktor sanggup bayar RM200 nak naik kapal sebagai sukarelawan…ini tanda prihatin rakyat Malaysia,” katanya.

Jika gagal masuk Myanmar, flotila Rohingya tuju Bangladesh

Penganjur: Flotila Rohingya diteruskan walau tanpa kebenaran Myanmar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.