Dilarang merokok di taman awam dan taman negara

Dilarang merokok di taman awam dan taman negara

Semua kawasan di taman awam dilarang merokok, kecuali tempat letak kereta terbuka.

Noor-Hisham-Abdullah_rokok_6001
PUTRAJAYA:
Taman awam dan taman negara diwartakan sebagai tempat dilarang merokok bermula 1 Februari 2017, kata ketua pengarah Kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penambahan kawasan larangan merokok itu bertujuan melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok atau lain-lain produk merokok.

Katanya, ia juga selaras Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dianggotai Malaysia sejak 2005.

“Selain itu, perluasan kawasan dan tempat dilarang merokok bertujuan mengekang aktiviti merokok di tempat awam supaya budaya ini tidak diterima masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pewartaan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017 itu, melibatkan taman awam di seluruh negara, taman negara yang diwartakan di bawah Akta Taman Negara 1980, Enakmen Taman Negara Kelantan, Enakmen Taman Negara Pahang atau Enakmen Taman Negara Terengganu serta taman negeri seperti dalam jadual ke-9 peraturan itu.

Melalui pewartaan itu, Dr Noor Hisham berkata, semua kawasan di taman awam adalah dilarang merokok, kecuali tempat letak kereta terbuka.

Katanya, bagi taman negara dan taman negeri pula, 3 tempat utama yang menjadi tumpuan orang awam menjadi kawasan larangan merokok iaitu menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan jarak 5m dari laluan masuk atau keluar titian kanopi.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.

“Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia mematuhi peraturan itu dan memastikan kawasan persekitaran terutama di tempat tumpuan awam, bebas daripada bahaya asap rokok dan lain-lain produk merokok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.