Abang Johari ikrar teruskan dasar Adenan

Abang Johari ikrar teruskan dasar Adenan

Sarawak di bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem menjadi satu-satunya negeri mengiktiraf peperiksaan persendirian Cina yang setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

awang-tengah_abang-johari_sarawak_600
SIBU: Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg berikrar akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan meneruskan bantuan kewangan kepada sekolah Cina di negeri itu.

Polisi yang dipelopori Tan Sri Adenan Satem ketika mula memegang jawatan ketua menteri itu membolehkan rakyat Sarawak yang memiliki sijil itu menyertai perkhidmatan awam negeri dan memohon pinjaman pendidikan dari Yayasan Sarawak.

“Sebagai kapten, saya akan meneruskan polisi mengiktiraf UEC dan memberi bantuan kepada sekolah Cina di Sarawak,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sibu yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi di sini malam tadi.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan Adenan merupakan satu-satunya negeri yang memberi pengiktirafan kepada kelayakan peperiksaan persendirian Cina yang setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Abang Johari berkata polisi lain yang akan diteruskan ialah perjuangan untuk memperoleh penurunan kuasa dari Putrajaya.

Katanya, beliau akan terus berusaha untuk membangunkan ekonomi di samping memelihara persekitaran hijau di negeri itu.

“Sudah tentu kita akan terus memelihara persekitaran hijau serta pada masa sama mencari jalan untuk meningkatkan lagi ekonomi berdasarkan pasaran semasa. Saya akan mempelajari ekonomi digital,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri bercadang mengadakan persidangan ekonomi digital dan menjemput pakar dalam bidang tersebut.

Populasi Sarawak pada masa ini adalah 2.7 juta penduduk, dengan kekuatan sumber semula jadi dan bakat yang dimiliki rakyatnya, beliau percaya masa depan Sarawak cerah.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.