
Mereka juga sebaiknya memulakan perniagaan sampingan ketika bekerja, kata perancang kewangan Robert Foo.
“Zaman sekarang, anda tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan yang ada.
“Jika diberhentikan secara tiba-tiba, sekurang-kurangnya ada sesuatu. Jangan fikir hanya kerana anda pekerja tetap atau sudah menjadi kakitangan selama beberapa tahun, keadaan sudah selamat,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau mengulas laporan kaji selidik Pengurusan Pampasan Aon Hewitt Malaysia 2016 baru-baru ini yang memaklumkan lebih separuh golongan lepasan ijazah memiliki pendapatan bulanan kurang RM2,500.
Katanya, aspek perbelanjaan terbesar bagi setiap golongan itu bergantung kepada latar belakang dan keadaan semasa mereka.
“Ada yang datang daripada keluarga kaya, ada juga miskin. Sesetengahnya tinggal bersama keluarga sementara yang lain sendiri.”
Namun apa yang penting, katanya lagi, memperuntukkan sedikit simpanan untuk saat kecemasan, selain pelaburan dan tambahan kepada wang persaraan.
Beliau juga mencadangkan agar golongan lepasan ijazah yang baru melangkah ke alam pekerjaan berbelanja dalam soal mempertingkatkan kemahiran seperti menyertai kursus, yang menurutnya sangat membantu dalam kerjaya.
“Kita perlu ingat, ramai yang hilang pekerjaan. Jangan buat kesilapan dengan merasakan ia tidak akan terjadi kepada anda,” katanya lagi.
Dalam soal pengangkutan, Foo mengingatkan mereka tidak menjadikan sesuatu yang dianggap sebagai “keperluan” kepada “kehendak”.
“Ramai teruja ketika mula mendapat pendapatan sendiri dan cenderung mengambil pinjaman di luar kemampuan, misalnya untuk kereta mahal,” katanya.
Dalam soal komunikasi pula, beliau memberi peringatan yang sama iaitu dengan mengutamakan aspek “keperluan” dan berseloroh,
“Pada peringkat awal, bukan masanya memikirkan membeli iPhone versi terbaru”.