Banjir: Mangsa di 4 negeri berkurangan

Banjir: Mangsa di 4 negeri berkurangan

Jumlah mangsa bencana banjir menurun di Johor, Pahang, Kelantan dan Selangor

banjir
JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor bertambah baik setakat tengah hari dengan 6,013 orang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 6,852 mangsa pagi tadi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata mereka merangkumi 1,619 keluarga yang ditempatkan di 66 PPS di 4 daerah iaitu Segamat, Muar, Tangkak dan Kluang.

Segamat kekal dengan jumlah mangsa tertinggi seramai 4,033 orang daripada 1,079 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS, katanya.

Di Tangkak, seramai 1,528 mangsa melibatkan 412 keluarga masih berada di 12 PPS, sementara di Kluang hanya ada 9 mangsa daripada 3 keluarga di 1 PPS.

Ayub berkata Muar merekodkan sedikit peningkatan dengan 443 mangsa ditempatkan di PPS berbanding 415 orang pagi tadi disebabkan limpahan air Sungai Segamat yang menerima aliran masuk air banjir.

Ekoran itu katanya sebuah lagi PPS dibuka menjadikan 6 pusat pemindahan setakat tengah hari.

Di Pahang, lebih 1,000 mangsa banjir dibenarkan pulang setakat tengah hari dengan 6,167 mangsa masih berada di PPS di 9 daerah berbanding 7,198 orang pagi tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Pahang berkata Lipis merekodkan mangsa teramai sebanyak 2,094 daripada 586 keluarga.

Jerantut pula mencatatkan 1,140 orang (358 keluarga), sementara Temerloh menyaksikan 1,113 orang (277 keluarga) masih berada di PPS.

“Rompin mencatatkan 1,003 orang (278 keluarga), Maran dengan 247 mangsa (57 keluarga), Kuantan merekodkan 156 orang (34 keluarga), Pekan mencatatkan 143 orang (32 keluarga), Raub dengan 137 orang (34 keluarga) dan Bera dengan 134 mangsa (32 keluarga),” katanya.

Sebanyak 108 PPS masih beroperasi berbanding 115 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, 28 di Temerloh, 26 di Lipis, Jerantut (15), manakala Rompin, Maran, Pekan, dan Bera masing-masing tujuh, Raub (6) dan Kuantan (5).

Berdasarkan laman sesawang publicinfobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), 7 sungai di Pahang melepasi paras bahaya, 3 pada paras amaran dan 5 lagi pada paras berjaga-jaga.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 355 orang setakat tengah hari ini berbanding 360 orang pagi tadi.

Mereka ditempatkan di 11 PPS di jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Menurut aplikasi inforbanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Krai masih mencatatkan jumlah teramai iaitu 239 orang daripada 59 keluarga di 7 PPS diikuti di Gua Musang, seramai 78 mangsa (19 keluarga) ditempatkan di 2 PPS.

Di Pasir Puteh terdapat 25 orang (5 keluarga) ditempatkan di sebuah PPS manakala di Tanah Merah, seramai 13 orang (3 keluarga) berada di sebuah PPS.

Sementara itu, menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai kini meningkat sedikit kepada paras 25.35m berbanding 25.30m pagi tadi, namun masih melepasi paras bahaya 25m.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang juga meningkat sedikit kepada 9.45m berbanding 9.42m pagi tadi, masih melepasi paras bahaya 9m.

Di Perak, jumlah mangsa banjir tengah hari ini tidak banyak berubah, dengan 508 mangsa dipindahkan berbanding 506 pagi tadi, menurut portal infobanjir JKM.

Bagaimanapun sebuah PPS ditutup di daerah Larut Matang iaitu Dewan Orang Ramai Matang Merbau Sungai Tinggi, menjadikan 8 PPS beroperasi di 4 daerah terjejas banjir.

Bilangan mangsa banjir di Manjung ialah 219 orang, Hilir Perak (179) Kinta (69) dan 41 orang di Larut Matang.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir di 3 pusat pemindahan di daerah Sabak Bernam setakat tengah hari berkurangan kepada 353 orang daripada 107 keluarga berbanding 356 orang pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernam berkata kesemua mereka ditempatkan di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar; Dewan Parit Baru, Sungai Air Tawar dan Dewan Seri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar.

Katanya jumlah mangsa banjir di Dewan Sri Bernam berkurang kepada 160 orang daripada 47 berikutan 3 sekeluarga menerima pelawaan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk berpindah ke Sekin Resort miliknya di Sekinchan pagi ini.

Sementara jumlah mangsa di Dewan Parit Baru sebanyak 164 orang daripada 52 keluarga dan di Dewan Sri Nakhoda sebanyak 29 orang daripada 8 keluarga.

Semalam, Jamal menawarkan kepada mangsa banjir di Dewan Sri Bernam untuk menginap di resortnya sehingga air surut atas rasa prihatin dengan nasib penduduk di situ.

Di Sarawak, penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan pedalaman menerima bekalan 1,608 pek makanan dengan nilai keseluruhan RM120,000 hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mejar Ismail Mahedin berkata setakat ini, tiada pemindahan penduduk atau pusat pemindahan dibuka dan bekalan makanan dihantar ke 13 rumah panjang serta sebuah sekolah rendah di daerah Beluru di sini.

“Pek bekalan makanan mengandungi beras, gula, garam, mi segera, biskut kering, makanan dalam tin dan minyak masak,” katanya di sini hari ini.

Ismail berkata bantuan satu pek makanan adalah untuk kegunaan 2 orang bagi tempoh 5 hari.

“Penghantaran dilakukan bersama dengan APM, Pejabat Daerah Beluru, JKM dan bomba,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.