
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, perkhidmatan itu yang juga dikenali sebagai Dego Ride menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Setakat ini, tiada lesen dikeluarkan untuk teksi motosikal, kalau mereka membuat perniagaan, ia adalah sesuatu yang haram.
“Kita boleh dakwa mereka di bawah Lesen Kenderaan Moto (LKM) untuk kegunaan peribadi dan bukan perniagaan,” katanya selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.
Dego Ride yang beroperasi menggunakan aplikasi maya diperkenalkan sejak November lalu dan semakin popular dalam kalangan warga kota sebagai alternatif murah serta pantas untuk mengatasi masalah kesesakan di ibu negara.
Perkhidmatan itu yang menyamai “ojek” di Indonesia dan “motorsai rap chang” di Thailand menawarkan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh 3km dan tambahan RM0.60 bagi setiap 1km berikutnya.
Aziz berkata, kerajaan hanya membenarkan perkhidmatan Uber serta Grab yang beroperasi menggunakan aplikasi maya, dan perkhidmatan itu akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.
Mengulas isu ulat teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyalahgunakan platform perkhidmatan Uber dan Grab, beliau berkata, pihaknya akan memantau dan membuat operasi dari semasa ke semasa bagi membendung perkara itu.
“Uber dan Grab menggunakan aplikasi maya, mereka (pemandu biasa) tidak boleh menjadi ‘ulat’ kerana aplikasi itu perlu didaftarkan.
“Di terminal KLIA, kita sudah ada penguatkuasaan daripada JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) dengan kerjasama MAB (Malaysia Airport Berhad) selaku pentadbir di sana,” katanya.
Dalam pada itu, Aziz berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengadakan bengkel dengan semua pengusaha bas di seluruh negara pada 11 Februari ini bagi menjelaskan pendekatan penguatkuasaan lebih tegas terhadap pengusaha dan pemandu bas di negara ini.