
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan berkata, siasatan awal mendapati taska itu baru beroperasi hampir 4 bulan lalu dan dalam proses mendapatkan lesen.
“Siasatan masih dijalankan dan fokus siasatan adalah kesahihan gambar tersebar di laman sosial serta apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.
Selain itu, beliau berkata, polis sudah merakam percakapan 8 individu, termasuk ibu bapa kanak-kanak terbabit.
Katanya, gambar berkenaan dipercayai dirakam pada 27 Disember tahun lalu oleh seorang bekas pekerja taska terbabit.
“Laporan polis hanya dibuat bekas pekerja itu pada 19 Januari lalu, selepas dia (pengadu) sebarkan gambar itu. Pengadu hanya bekerja selama beberapa hari dan berhenti kerja pada 31 Disember tahun lepas,” katanya.
Mengulas lanjut, Othman berkata, pemeriksaan terhadap 3 kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 4 tahun yang diikat itu mendapati tiada kecederaan fizikal dialami mereka.
“Polis sudah merampas kain yang mempunyai persamaan seperti dalam gambar diviralkan,” katanya.
Setakat ini, pemilik taska dan 3 pekerjanya yang ditahan sejak Jumaat lalu direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan.
Gambar kanak-kanak berkenaan yang diikat kaki dan tangan, selain mulut mereka ditutup tersebar di laman sosial sejak Khamis lalu.