
Lawyers for Liberty (LFL), Amnesty International Malaysia dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyampaikan mesej untuk menangguhkan hukuman gantung ke atas S Prabagaran, 29, melalui Suruhanjaya Tinggi Singapura, hari ini.
Wakil LFL, Raul Lee Bhaskaran berkata, beliau mahu menunjukkan kepada kerajaan Singapura yang mereka tidak mencabar hakikat seorang rakyat Malaysia akan dihukum gantung, tetapi menuntut Prabagaran diberikan prosedur perbicaraan adil.
Katanya, LFL sudah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 16 Januari lalu untuk menggesa kerajaan Malaysia mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mencabar dakwaan tiada perbicaraan adil.
“Kami mendesak kerajaan Malaysia dan Wisma Putra membawa Singapura ke mahkamah kerana Prabagaran mempunyai hak di bawah Perkara 5 Perlembagaan untuk hidup,” katanya di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Jalan Tun Razak.
Prabagaran akan dihukum gantung dalam beberapa minggu lagi atas kesalahan mengedar dadah. Ibunya menyerahkan memorandum kepada Putrajaya bagi memohon campur tangan kerajaan, pada 21 Disember lalu.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni memberitahu wakil Suruhanjaya Tinggi Singapura yang mereka membawa kes ini ke ICJ dan proses itu akan memakan masa.
“Bagi pihak Amnesty, kami merayu kerajaan Singapura tidak menggantung Prabagaran dan mengkaji semula undang-undang mengenai hukuman mati di Singapura supaya ia dimansuhkan.”
Katanya, beliau turut menghantar surat sokongan daripada ahli Amnesty yang memohon rayuan belas kasihan untuk Prabagaran.
Prabagaran didapati bersalah pada 2012 susulan penemuan 22.24gm diamorfina, sejenis heroin asli dalam keretanya di pusat pemeriksaan imigresen Singapura.
Prabagaran mengaku tidak bersalah dan mendakwa dia bukan pemilik kereta dipandunya serta tidak menyedari ada dadah dalam kereta itu.
Katanya, dia turut membantu Biro Narkotik Pusat Singapura menghentikan aktiviti dadah.