Ini caranya sebuah masjid Taman Tun tangani pengaruh Wahabi

Ini caranya sebuah masjid Taman Tun tangani pengaruh Wahabi

Imam di Masjid Ghufran yang kerap dikunjungi kariah kelas pertengahan berkata beliau sudah biasa menangani isu itu dan mempunyai kaedah tersendiri.

imam
KUALA LUMPUR: Sebuah masjid di kawasan elit pinggir bandar raya mengakui fahaman Wahabi semakin menular di kalangan penduduk bandar dan kelas pertengahan, malah menanganinya secara terbuka tanpa berselindung.

Mohd Shahid Mohd Noh, imam Masjid Al Ghufran di Taman Tun Dr Ismail, berkata isu pengaruh ajaran Wahabi, sebuah aliran berkembang di Arab Saudi yang mahu kembali kepada “Islam tulin”, bukan perkara baru.

Shahid berkata jawatankuasa masjid tidak berselindung dan memutuskan untuk bersikap terbuka mengenai pendiriannya kepada ahli kariah.

Beliau memberikan contoh bagaimana sesetengah ahli kariah tidak bersetuju dengan amalan solat hajat, sesuatu yang biasa di kalangan umat Islam negara ini tetapi dipersoal sebagai satu bentuk ibadah yang diada-adakan.

“Tetapi kita lawan dengan memberikan ceramah dan penerangan mengenai solat hajat.

“Walaupun ada dua tiga orang cenderung, kita akan berbincang baik-baik, atau tidak usik isu ini. Tetapi, kalau dia (pengikut aliran Wahabi) usik, kita akan usik juga dengan bahasa manis dan ilmiah,” katanya kepada FMT.

masjidghufranAjaran Wahabi merupakan panggilan lain untuk Salafi, yang menurut pengikutnya adalah berdasarkan Islam yang syumul dan berpandukan golongan salaf, atau pewaris Nabi Muhammad generasi pertama.

Aliran itu diasaskan Muhammad Abdul Wahhab, tokoh yang memperjuangkan pembaharuan Islam pada lewat 1700 an di Semenanjung Arab, dan menjadi ikutan agamawan Arab Saudi dan dipromosikan pertubuhan Islam yang dinaunginya.

Shahid berkata, beliau sendiri menyemak secara mendalam senarai penceramah supaya ahli kariah tidak terpesong daripada fahaman mazhab Sunnah.

“Kita akan pastikan penceramah itu bertauliah, kadang-kadang mereka ini bukan sahaja ada tauliah tetapi lebih besar tauliahnya.

“Saya secara peribadi akan lihat dari mana ustaz ini mengaji, jika lulusan Universiti Al-Azhar, ia okay.

“Kemudian tengok kitab mana dia belajar, kalau kitab ahli Sunnah wal Jamaah, maka okay.

“Kadang-kadang, saya uji dan borak-borak untuk tengok pemikirannya. Saya tanya mengenai rancangan untuk adakan majlis Maulid Nabi. Jika dia kata okay, maka okay,” katanya, merujuk salah satu pendirian di kalangan pengikut Wahabi yang menganggap sambutan maulud sebagai bid’ah, atau ibadah yang diada-adakan tanpa asas Sunnah.

Shahid, yang menjadi imam sejak 2007, pernah ditegur oleh sesetengah pihak yang menganggap aktiviti jawatankuasa masjid tidak mengikut Sunnah.

“Kita didatangi oleh orang yang tidak kita kenali, contohnya orang Arab yang menegur kita selepas solat.

“Kita ditegur, mengenai program bacaan Yasin pada Khamis malam Jumaat, yang dianggap sebagi bid’ah, tetapi teguran itu tidak secara langsung tetapi secara proksi,” katanya.

Pada Mac 2015, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan aliran Wahabi tidak sesuai diamalkan di negara ini.

Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang diketuai Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad pula mengharamkan aliran ini kerana didakwa bertentangan dengan aliran Sunnah.

Jelasnya, beliau dan imam di masjid berhampiran menyediakan set jawapan khusus bagi menjawab dan menangkis hujah diberikan pengikut aliran Wahabi ini.

“Kita memang sudah ada satu set jawapan untuk menjawab segala persoalan dari golongan ini, malah kita sediakan ‘slide show’. Kalau dia hujah itu, kita akan jawab ini.”

Wahabi dan ‘elit’

Shahid berkata, punca sebahagian besar golongan kelas pertengahan terpengaruh dengan aliran Wahabi ialah kerana tidak mempunyai asas agama yang kukuh.

Bahkan mereka terus belajar “perkara tinggi” seperti mentafsir.

“Apabila mereka sudah pencen, mereka terus ingin tafsir kitab Imam al-Bukhari, ia buku aras tinggi. Bermulalah dengan buku asas fardhu ain.

“Bila kita melonjak tinggi, asas kita kosong. Maka senanglah kita jatuh dan ini sememangnya merisaukan kita, kerana bimbang jadi seperti di negara Arab,” katanya.

Shahid berkata, beliau mengelak untuk berdebat dengan pengikut aliran Wahabi kerana belajar daripada sejarah yang pernah berlaku iaitu tidak akan membawa hasil baik.

“Sekalipun (pengikut) Sunnah mampu memberikan hujah yang baik, mereka ini akan putar alam, agar dia tidak akan kalah. Dia nak pertahankan debat, nanti akan bawa pergaduhan,” katanya.

“Apabila kita fikirkan perkara berkenaan, maka tidak perlulah untuk berdebat, takut akhirnya akan merosakkan masjid,” katanya.

‘Elit’ bandar jadi sasaran ajaran Wahabi, kata pegawai agama

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.