Bunuh tahanan: 4 polis berjaya ketepi penghakiman ingkar

Bunuh tahanan: 4 polis berjaya ketepi penghakiman ingkar

Hakim turut memerintahkan 4 defendan itu memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari, bermula hari ini.

N-Dharmendran
KUALA LUMPUR: Empat anggota polis hari ini berjaya mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh M S Marry, balu N Dharmendran dalam saman berhubung kematian suaminya semasa dalam tahanan polis pada 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Roslan Abu Bakar membenarkan permohonan Inspektor S Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, selaku defendan pertama hingga ke-4 untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Marry untuk memperoleh penghakiman ingkar terhadap 4 anggota polis itu selepas tiada wakil peguam mereka hadir di mahkamah semasa kes saman itu disebut.

Peguam Baljit Singh yang mewakili 4 anggota polis itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding di dalam kamar berkata, hakim juga memerintahkan semua defendan memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari, bermula hari ini.

Peguam Melissa Sasidaran yang bertindak bagi pihak Mary mengesahkan perkara itu. Mahkamah juga menetapkan 27 Februari ini untuk pengurusan kes itu.

Pada 20 Mei 2016, Marry, 29, memfailkan saman itu dengan menamakan ketua polis negara, 9 pegawai PDRM, termasuk 4 anggota polis itu dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dengan mendakwa mereka sengaja melakukan serangan dan serang sentuh ke atas Dharmendran semasa dalam tahanan polis sehingga menyebabkan kematiannya.

Beliau mendakwa kematian suaminya itu disebabkan keingkaran tanggungjawab statutori mengikut Seksyen 3(3) dan 20 Akta Polis 1967 oleh defendan.

Dharmendran berusia 34 tahun ketika itu. Dia ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.

Pada 26 Februari tahun lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan 4 anggota polis itu membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran, selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka didakwa membunuh Dharmendran, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), tingkat 7, IPKKL di Jalan Hang Tuah antara 18 hingga 21 Mei 2013.

Bagaimanapun, pada 29 Jun 2016, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan 4 lelaki itu daripada pertuduhan membunuh Dharmendran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.