Golongan pakar sokong hukuman keras untuk penyerang Bukit Antarabangsa

Golongan pakar sokong hukuman keras untuk penyerang Bukit Antarabangsa

Supaya tiada orang menganggap masyarakat boleh bertolak ansur dengan "hukuman" di luar proses undang-undang.

P-Sundramoorthy
PETALING JAYA:
Seorang pakar kriminologi menggesa mahkamah mengenakan penalti maksimum terhadap individu yang “menghukum” di luar proses undang-undang.

P Sundramoorthy, profesor madya di Universiti Sains Malaysia dan ahli Kumpulan Penyelidik Jenayah dan Kepolisan, berkata hukuman maksimum langkah pencegahan terbaik.

Beliau mengulas kejadian ganas di Bukit Antarabangsa pada Sabtu lepas, apabila seorang pemandu lori diserang sekumpulan lelaki selepas lorinya terlanggar sebuah kereta. Kejadian itu dirakam dan dimuatnaik ke internet. Rakaman 2 minit menjadi tular di media sosial.

“Sekiranya pelaku didapati bersalah berdasarkan bukti yang ada, harus dipastikan yang mereka tidak sekadar dikenakan hukuman denda atau penjara minimum,” kata Sundramoorthy kepada FMT.

“Walaupun mangsa tidak mengalami kecederaan parah, tindakan seperti itu tidak boleh dibenarkan. Oleh itu, mereka harus dikenakan hukuman maksimum yang dibenarkan undang-undang.”

Beliau menjelaskan sistem keadilan jenayah tidak membenarkan mana-mana pihak, termasuk polis, menggunakan kekerasan fizikal terhadap mana-mana orang kecuali ketika mempertahankan diri. “Sebab itu polis juga boleh dibawa ke mahkamah sekiranya ada anggota mengganas.”

Sundramoorthy yakin polis akan menyelesaikan kes Bukit Antarabangsa itu memandangkan kewujudan saksi kejadian, namun beliau menyarankan beberapa faktor diambil kira agar kejadian tidak berulang.

“Seorang pengawal keselamatan berseragam antara saksi kejadian itu,” katanya. “Tidakkah mereka terlatih untuk menghubungi polis? Dalam keadaan tertentu, apabila gerombolan individu menyerang seseorang, kita tidak boleh harapkan mereka untuk campur tangan. Campur tangan mungkin menyebabkan ia melarat.”

Beliau berkata pengirim video sewajarnya menghantar maklumat kejadian kepada polis dengan kadar segera.

“Masa sentiasa faktor dalam siasatan, terutamanya ketika mengesan dan menangkap pelaku serta mengumpul bukti, seperti mentahkikkan (corroborate) keterangan saksi. Sebagai saksi, ingatan boleh gagal selepas beberapa lama berlalu.”

Presiden Transparency International-Malaysia, Datuk Akhbar Satar bersetuju dengan Sundramoorthy, menggesa orang awam supaya membantu menerapkan rasa hormat pada sistem keadilan dan melindungi masyarakat. Orang ramai boleh membantu dengan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa, katanya.

Beliau juga bersetuju individu yang menghukum di luar proses undang-undang perlu dikenakan hukuman keras.

“Perlu ada tindakan tegas daripada polis,” katanya, “dan hakim perlu pastikan hukuman maksimum dikenakan.”

Kegagalan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan ia menjadi ikutan, katanya. “Penjenayah boleh mendapat ilham daripada kejadian itu. Mereka mungkin meniru jenayah jika tidak dicegah pihak berkuasa.”

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak yang terbabit dalam kejadian pada Sabtu itu bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, tetapi polis tidak akan melepaskan penyerang dengan mudah kerana “negara mempunyai undang-undang untuk melindungi orang yang tidak bersalah.”

Beliau mencadangkan penyerang supaya menyerah diri sebelum polis mengheret mereka keluar dari rumah mereka.

Rakaman video itu menunjukkan 5 orang menendang seorang pemandu lori pada kepala dan badan, selepas lori yang diundurkan terlanggar sebuah Mercedes-Benz milik seorang lelaki bergelar “Datuk”.

Khalid berkata “Datuk” tersebut tidak terbabit dalam serangan itu.

R Paneir Selvan, pengerusi Persatuan Penyelidik Dasar dan Undang-Undang, turut mengulas kejadian itu kepada FMT. Beliau berkata polis harus dilihat sebagai kuasa melawan keganasan, tanpa mengira status pelaku dalam masyarakat.

“Sekiranya kamu mahu mengekalkan sistem dan kamu mahu orang ramai menghormati undang-undang, maka sesiapa sahaja, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh, yang didapati melakukan kesalahan perlu dihukum,” katanya.

Beliau mendakwa polis, sejak tahun kebelakangan, dilihat seolah tidak tegas terhadap mereka yang berkuasa atau berpengaruh dan itu menyebabkan individu tertentu percaya diri mereka mengatasi undang-undang.

Paneir menyambut baik ketegasan polis memburu pelaku walaupun pemandu lori terbabit bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Perkara sivil boleh diselesaikan di luar mahkamah, tetapi tidak jenayah seperti ini,” katanya.

Sundramoorthy berkata, dakwaan mengatakan perkara itu sudah diselesaikan tidak bermakna ia selesai sepenuhnya.

“Mangsa mungkin diancam,” katanya. “Orang ramai perlu membenarkan polis mengambil tindakan yang perlu dengan menyiasat kes ini secara teliti dan kemudian pendakwa raya boleh tentukan pertuduhan terhadap pelaku.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.