
Pada era 90-an, salah seorang pendakwah yang terkenal adalah Ahmed Deedat dari Afrika Selatan dengan ceramahnya yang memfokuskan perbandingan Islam dan Kristian.
Dalam era media sosial dan Youtube, ceramah mereka disebar dengan lebih meluas dan cepat ke serata dunia, termasuk Malaysia.
Barisan pendakwah ini mempunyai pengaruh besar terhadap sikap dan pandangan masyarakat yang mengikuti ceramah mereka.
Bagaimanapun, dengan kaitan Islam dalam konflik global, pandangan serta idealogi mereka, termasuk organisasi di belakangnya, lebih diperhati pelbagai pihak.
Walaupun kebanyakan ceramah mereka lebih kepada kerohanian, mereka tetap membawa sikap politik (dalam erti yang lebih luas) yang akan mempengaruhi pengikut mereka.
Mufti Menk
Antara penceramah luar yang terkenal di Malaysia adalah Ismail Musa Menk, atau lebih dikenali sebagai Mufti Menk.
Tokoh berasal dari Zimbabwe ini ternyata mempunyai pengikut yang ramai di negara ini, apabila kerap diundang bagi memberikan ceramah dalam majlis agama.
Popular di kalangan masyarakat bandar yang berbahasa Inggeris, beliau juga sering “diburu” pemimpin negara untuk bergambar. Barangkali kerana popularitinya itu di sini.
Beliau juga mengulas beberapa isu berkaitan negara, antaranya berhubung tragedi MH370 dan MH17 3 tahun lalu.
Kata-katanya turut dipetik kerabat diraja Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim bagi membela gimnas negara Farah Ann Hadi yang dikecam kerana pakaian sukannya.
“Apabila anda melihat perempuan dalam keadaan tidak selari dengan Islam, jangan sesekali merasakan tahap kerohaniannya lebih rendah daripada anda. Beliau mungkin ada satu kelemahan zahir, dan anda ada 50 kelemahan yang tersembunyi,” kata Menk.
Pandangan sebegini menjadikan Menk mudah diterima masyarakat Islam terutama di bandar, yang rata-ratanya lebih terdedah dan rencam pergaulannya.
Tetapi beliau bukanlah tanpa kontroversi, apabila banyak laman dan blog berkaitan Islam mendakwa beliau seorang Salafi (nama lain bagi Wahabi) yang “menyamar” sebagai bermazhab Hanafi.
Beliau pernah mengeluarkan pandangan Maulid Nabi – sambutan yang menjadi tradisi umat Islam seluruh dunia dan acara kemasyarakatan di Nusantara – sebagai bid’ah (amalan yang dicipta selepas Nabi) yang harus ditinggalkan.
Latar belakang pendidikannya iaitu dalam bidang undang-undang syariah dari Universiti Islam Madinah serta jawatannya sebagai pengarah Darul Ilm’ (Pusat Pendidikan Islam), Majlis Ulama Zimbabwe yang mempunyai misi untuk “membekalkan pengajaran dan penyebaran pengetahuan Islam yang tulen” turut menguatkan lagi dakwaan itu.
Suhaib Webb
Pendakwah Amerika Syarikat (AS) ini juga popular di Malaysia, malah program tafsir Al-Qurannya berjudul “Reflections” diterbit dan disiarkan TV Al-Hijrah, stesen agama dibiayai kerajaan.
Seperti Menk, Suhaib turut menumpukan soal kerohanian dan akhlak terutama jika mengambil kira latarnya iaitu AS, di mana umat Islam dalam proses integrasi dengan nilai negara itu dan sering menjadi sasaran utama kritikan.
Beliau bergiat aktif dalam “Muslim American Society” yang banyak terlibat dalam program sosial dan kemasyarakatan serta menerima geran daripada kerajaan AS di bawah Program Inisiatif Berasaskan Kepercayaan (Faith Based Initiative Program).
Tahun lalu, militan IS melalui majalah propagandanya “Dabiq” menggelarkannya sebagai murtad.
Responnya: “Sejujurnya, ia adalah satu penghormatan. Untuk dikecam oleh kumpulan yang amat cetek pandangan teologinya adalah satu perkara yang baik.”
Beliau pernah dikritik segelintir pihak kerana cenderung untuk menunjukkan imej yang baik tentang Islam kepada media di sana, sehingga mengabaikan apa yang mereka sifatkan sebagai nilai Islam yang sebenar.
Zakir Naik
Pendakwah dari India ini tidak surut dengan kontroversi dan barangkali antara tokoh agama paling berpengaruh di Malaysia, berbanding Mufti Menk dan Suhaib Webb.
Kedatangannya di Malaysia tahun lalu mengundang 2 reaksi – menyokong dan membantah kehadirannya.
Pengasas Yayasan Kajian Islam (Islamic Research Foundation) di India itu juga seorang pengkagum Deedat dan menjadikan perbandingan agama sebagai fokus ceramahnya.
Antara yang menarik perhatian adalah pada kebanyakan programnya, ada hadirin yang bukan beragama Islam akan mengucapkan kalimah Syahadah selepas mendengar ceramahnya.
Dilabel ideolog Salafi paling berpengaruh di India, beliau dianugerahkan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal oleh kerajaan Arab Saudi pada 2 Februari 2015.
‘Elit’ bandar jadi sasaran ajaran Wahabi, kata pegawai agama