
Mahkamah Tinggi menambah hukuman penjara dari 14 hari kepada 5 bulan di atas kesalahan menhalang pegawai MBSA melaksanakan tugas.
Pesuruhjaya Kehakiman Wong Teck Meng dalam penghakimannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret ke atas pasangan tersebut kerana tempoh dua minggu tidak mencukupi untuk mencerminkan keseriusan kesalahan itu.
“Mereka akui halang pegawai MBSA tersebut daripada menjalankan tugasnya dan bersikap agresif terhadapnya,” katanya.
Beliau berkata pasangan itu tidak sepatutnya bertindak sewenangnya dengan menggunakan kekerasan terhadap seorang pegawai penguatkuasa kerajaan.
“Mereka sepatutnya bertenang dan membayar denda saman tersebut,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Wong.
Mahkamah perlu mengenakan hukuman yang berat bagi kesalahan seperti ini, kerana hukuman ringan akan menyebabkan masyarakat yang diluar-kawalan.
Perintah menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Dalam perbicaraan terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad berkata, mahkamah majistret membuat kesilapan dalam menjatuhkan hukuman penjara 14 hari pada tahun lepas.
“Majistret dalam penghakiman itu mengakui ia adalah satu jenayah yang serius terhadap pegawai awam tetapi kemudian menyanggah pendirian dengan mengatakan penjatuhan hukuman perlu mengambil kira kepentingan peribadi tertuduh,” katanya.
Beliau menambah negara mempunyai 1.2 juta kakitangan awam yang berharap mahkamah akan mengenakan hukuman berat ke atas individu yang menakut-nakutkan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Kami berharap mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang lebih berat antara 6 hingga 18 bulan.”
Sementara itu, peguam pasangan itu, Gabriel Susayan menegaskan bahawa hukuman penjara dua minggu terlalu berat bagi pesalah kali pertama.
“Hukuman penjara itu tidak berbeza daripada hukuman yang dijatuhkan setelah perbicaraan penuh,” katanya.
Gabriel berkata pasangan itu amat kesal dengan tindakan mereka dan sanggup meminta maaf kepada pegawai dan orang awam.
Mereka telah dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini tahun lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan pada menggunakan kekerasan untuk menghalang pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Nurul Ain Isa daripada menjalankan tugasnya.
Peguam Negara Apandi Ali dalam satu kenyataan pada 27 November berkata hukuman penjara dua minggu itu “jelas tidak memadai” dan telah memfailkan rayuan balas untuk menambahkan hukuman itu.
Pasangan itu mula terkenal setelah direkod dalam video dalam aksi mengasari Nurul Ain semasa pegawai MBSA itu mahu mengeluarkan saman letak kereta terhadap Tan.
Walau bagaimanapun apabila saman itu dikeluarkan, Tan memarahi Nurul Ain.
Selepas itu Lor datang dan cuba menghalang pegawai tersebut daripada meninggalkan tempat kejadian.