
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh mengenai kekosongan itu yang tidak akan menjejaskan kekuatan parti majoriti untuk membentuk DUN di negeri terbabit.
“Berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, Bab 5 Perkara LXX (5), sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku.
“Dengan syarat jika kekosongan itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa 2 tahun dari tarikh Dewan Undangan Negeri itu akan terbubar, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi, melainkan jika Speaker DUN memberitahu SPR secara bertulis kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli DUN Selangor terjejas akibat kekosongan itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR, hari ini.
Kekosongan kerusi DUN Sungai Air Tawar disebabkan kematian wakil rakyatnya, Kamarol Zaki Abdul Malek pada 17 Januari lalu.
Wakil rakyat BN itu ditemui pegawai khasnya dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, kira-kira 9 pagi kelmarin dan dilaporkan meninggal dunia lewat malam kelmarin.
Kamarol julung kali dipilih mewakili BN di DUN Sungai Air Tawar pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dan berjaya menewaskan calon PAS, Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi.