Pelabuhan Pulau Carey ‘melengkapkan’ Pelabuhan Klang

Pelabuhan Pulau Carey ‘melengkapkan’ Pelabuhan Klang

Terminal Pelabuhan Klang, Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat akan mencapai kapasiti penuh menjelang 2025, kata pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.

Kong-Cho-Ha_Pulau-Carey_port_pka_600
PETALING JAYA:
Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tekad meneruskan pembinaan projek pelabuhan bandar industri RM200 bilion di Pulau Carey, Selangor, sebagai persediaan masa depan, lapor Channel News Asia hari ini.

Pengerusi LPK Tan Sri Kong Cho Ha berkata kompleks pelabuhan yang dicadangkan itu bukan ancaman kepada Singapura atau projek pelabuhan besar lain yang dirancang di bina di Melaka.

“Pelabuhan ini bersifat melengkapkan, bukannnya bersaing. Singapura juga sedang membina terminal besar di Tuas sebesar 65 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki), manakala projek Pulau Carey dirancang dibangunkan secara berperingkat – barangkali maksimum 30 juta TEU sahaja,” kata Cho Ha dalam wawancara dengan rangkaian berita serantau itu yang akan disiarkan Selesa nanti.

LPK mengendalikan Pelabuhan Klang, merupakan pelabuhan terbesar di negara ini dan yang tertua berbanding pelabuhan Pelabuhan Utara (Northport) dan Pelabuhan Barat (Westport) yang beroperasi dalam kawasan sama.

Cadangan pelabuhan terbaharu di Pulau Carey meliputi kawasan selepas 100km persegi, di bawah zon bebas dagangan, serta mempunyai zon perumahan, komersil dan prasarana sokongan.

Menurut Cho Ha, semua terminal di Pelabuhan Klang, Northport dan Westport akan mencapai kapasiti penuh menjelang 2025.

“Prasarana di terminal tersebut – seperti jalan raya dan utiliti – tidak lagi boleh menyokong pertumbuhan berterusan dan jumlah kenderaan keluar masuk yang semakin meningkat,” katanya menurut laporan itu.

Pakar industri berkata tiada keperluan untuk membina pelabuhan baharu di Pelabuhan Klang, lapor Straits Times Singapura.

“Tidak masuk akal kalau bina sebuah lagi pelabuhan yang dikendalikan secara berasingan (dengan Pelabuhan Klang). Ia akan hanya mengundang kapasiti berlebihan,” kata pengarah urusan syarikat perunding maritim dan logistik PortsWorld, G Durairaj kepada Straits Times.

“Bagaimanapun, terdapat sedikit peluang pelabuhan baharu akan menarik pelanggan dari Singapura, berdasarkan kepada faktor seperti kemampuan dan insentif pelanggan setia,” kata Durairaj.

Cho Ha, yang juga bekas menteri pengangkutan, menafikan pelabuhan baharu di Pulau Carey akan bersaing dengan projek RM12.5 bilion Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi, yang akan mula dibina dalam beberapa bulan lagi, dan projek RM43 bilion Melaka Gateway, yang mempunyai pelabuhan laut dalam dan terminal pelayaran.

Dua pelabuhan itu akan memberi kemudahan kepada kapal yang melalui Selat Melaka.

“Tiada konflik antara projek ini kerana setiap pelabuhan menawarkan fungsi berbeza,” kata Cho Ha, yang juga pengerusi Lembaga Pelabuhan Melaka.

Pelabuhan Klang merupakan pelabuhan terbesar di Malaysia dan pelabuhan ke-12 tersibuk di dunia, menurut Channel News Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.