Jais bertegas orang politik tidak dibenarkan ceramah masjid

Jais bertegas orang politik tidak dibenarkan ceramah masjid

Ikut titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah jadikan masjid zon ‘bebas politik’.

jais
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menegaskan tidak pernah memberikan sebarang tauliah ceramah kepada mana-mana ahli politik.

Pengarahnya, Datuk Haris Kassim berkata, tindakan tersebut diambil bagi mengikut titah Sultan Selangor yang menegaskan supaya masjid dijadikan zon “bebas politik”.

“Tauliah (berceramah) tidak pernah diberikan kepada ahli politik. Tauliah hanya diberikan jika seseorang atau individu hendak mengajar agama.

“Ini titah Sultan Selangor supaya menjadikan masjid sebagai zon aman dan perpaduan umat Islam serta bebas dari sebarang unsur perpecahan,” katanya kepada FMT.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Klang mendenda Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebanyak RM2,900 atau 3 bulan penjara kerana memberikan ceramah di sebuah surau 6 tahun lalu.

Khalid yang ketika itu timbalan pesuruhjaya PAS Selangor didakwa bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) kerana berucap di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, antara 10 malam hingga 11.50 malam pada 16 Ogos 2011.

Berdasarkan hukuman denda itu juga, Khalid boleh hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Shah Alam.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika beliau sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Semakan FMT di laman web pentauliahan Jais, seramai 1491 kad pentauliahan diberikan kepada individu untuk memberikan ceramah atau mengajar agama Islam di Selangor.

Pada 1 Julai tahun lalu, Sultan Selangor memberi amaran agar masjid tidak digunakan untuk tujuan politik. Malah turut menitahkan pemecatan pegawai masjid yang membenarkan perkara sedemikian.

Jais dalam garis panduannya menetapkan para pemegang tauliah berceramah dan mengajar berdasarkan al-Quran, sunnah, ijma’ dan qiyas serta tidak membawa fahaman atau ajaran salah.

Bahkan, turut menetapkan supaya tidak memfitnah saudara Islam lain dan tidak menyentuh mana-mana parti politik.

Khalid Samad didenda RM2,900 kerana berucap dalam surau

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.