
Syafiin, 81, yang meninggal dunia di Malaysia pada 10 Januari lalu, dianggap pemimpin utama BRN, kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thai.
Dr Srisompob Jitpiromsri dari Deep South Watch, sebuah badan bukan kerajaan khusus untuk memantau konflik di selatan Thai berkata, BRN kemungkinan mengekalkan penyertaannya dalam MARA Patani selepas kematian Syafiin.
“Pemergian Syafiin, sebagai pemimpin utama BRN, tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas proses keamanan, beliau tidak memainkan peranan aktif dalam kumpulan itu atau perjalanan harian kumpulan itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tambahan pula, katanya, Syafiin yang dilahirkan di Yarang, Pattani tidak dapat memberi peranan aktif dalam kalangan kumpulan bersenjata kerana diketahui beliau tidak sihat sejak dulu.
BRN bersama beberapa kumpulan selatan Thai menubuhkan MARA Patani (Majlis Syura Patani) selaku badan induk dan perwakilan dalam rundingan damai tidak rasmi dengan Bangkok.
Dibantu Malaysia, MARA Patani dan kerajaan Thai mengadakan beberapa pusingan rundingan damai tidak rasmi di Kuala Lumpur dengan sedikit kejayaan setakat ini.
Jurucakap MARA Patani, Dr Abu Hafiz al-Hakim dalam kenyataan kepada Bernama berikutan kematian Syafiin, menggambarkan lelaki itu sebagai “pejuang ulung dan tegas pendiriannya”.
Srisompob yang juga pensyarah di Prince of Songkla University di Pattani berkata, tiada siapa yang tahu struktur arahan BRN atau kepimpinannya kerana sifat perahsia kumpulan itu.
Kumpulan itu yang dipersalahkan pihak berkuasa Thai dalam kebanyakan kejadian serangan bersenjata di selatan Thai, dikenali dalam mengekalkan pengasingan sayap politik dan tentera, dengan barisan pemimpin mereka sendiri.
Mengenai pengganti Syafiin sebagai ketua ideologi kumpulan itu, beliau berkata, sukar mengetahui perkara itu kerana “situasi kini masih tidak menentu”, selain kesukaran mendapatkan apa-apa maklumat mengenai BRN.
Syafiin yang diiktiraf komuniti Islam di selatan Thai atas sumbangan besar beliau dalam pendidikan Islam dan hal ehwal agama di wilayah itu, tinggal di luar negara selama beberapa tahun hingga akhir hayatnya.
Menurut media tempatan, sekolah agama yang diketuai beliau, Thammwittaya Mulniti di Yala berjaya melahirkan kira-kira 50,000 pelajar sejak penubuhannya lebih 30 tahun lalu.
Isnin lalu, lebih 3,000 orang menunaikan solat jenazah ghaib untuk Syafiin di sekolah itu.
Syafiin yang disyaki terlibat dalam insiden berkaitan keselamatan, terpaksa melarikan diri selepas pihak berkuasa Thai didakwa menawarkan ganjaran untuk menangkapnya.
Sementara itu, media tempatan memetik ketua panel keamanan kerajaan, Jen Aksara Kerdphol sebagai berkata, proses damai tidak akan terjejas dengan kematian Syafiin.