Putrajaya sokong dasar ‘bebas beg plastik’ di Selangor, tapi…

Putrajaya sokong dasar ‘bebas beg plastik’ di Selangor, tapi…

Menteri sumber asli dan alam sekitar berkata kerajaan negeri Selangor perlu mengeluarkan garis panduan jelas ke mana kutipan 20 sen daripada setiap beg plastik itu akan digunakan.

wan-junaidi-no-plastic-bag
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Wan Junaidi Jaafar berkata beliau menyokong dasar “bebas beg plastik” di Selangor, tetapi kerajaan negeri itu perlu mengeluarkan garis panduan jelas apa yang akan dibuat dengan kutipan 20 sen daripada setiap jualan beg plastik.

Beliau berkata dasar itu boleh menimbulkan kontroversi apabila orang ramai mula mempertikaikan bagaimana wang yang dikutip daripada penjualan beg plastik akan digunakan.

“Sebagai menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal alam sekitar, saya bersetuju dengan dasar ‘bebas beg plastik’.

“Tetapi apa yang berlaku kepada duit yang dikutip daripada jualan beg itu?,” katanya, merujuk kepada bayaran dikenakan jika pelanggan mahu menggunakan beg plastik ketika membeli.

“Ia mungkin kecil tetapi jika 20 sen itu terkumpul, orang ramai akan mula bertanya soalan,” katanya.

Kempen “bebas beg plastik” kerajaan negeri Selangor dikuatkuasakan pada 1 Januari. Sebelum ini, kempen itu hanya diadakan pada Sabtu – “hari tanpa beg plastik”.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong berkata bayaran 20 sen yang dikutip daripada penjualan beg plastik itu akan disalurkan bagi tujuan tanggungjawab sosial dan korporat.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mengharamkan penggunaan bekas makanan polisterin tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.