Forest City: Tiada komen, kata pimpinan PAS Johor

Forest City: Tiada komen, kata pimpinan PAS Johor

PAS berkata ia masih meneliti dan mencari maklumat berkaitan projek yang menjadi kontroversi itu.

mahfodz
PETALING JAYA:
Ketika projek Forest City melibatkan pemaju China menjadi tajuk hangat sehingga mengundang komen pihak istana Johor, pimpinan tertinggi PAS di negeri itu masih tidak mempunyai sebarang pendirian berkenaan isu itu.

Ketika dihubungi, kedua-dua Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan timbalannya Khairul Faizi Ahmad Kamil enggan mengulas.

Khairul Faizi berkata pihaknya masih meneliti dan mengumpul maklumat berkaitan projek yang dikritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sehingga hari ini tiada kesimpulan yang dapat dilakukan, saya takut untuk berikan pandangan. Mungkin dalam masa terdekat tidak boleh berikan komen dalam isu ini,” katanya kepada FMT.

Hari ini, akhbar The Star menerbitkan sepenuhnya penjelasan balas Dr Mahathir mengenai bantahannya terhadap Forest City, projek pembangunan mega berhampiran Singapura yang terdiri daripada 4 pulau rekaan manusia seluas hampir 1,400 hektar, dan dipercayai menelan belanja AS$100 bilion.

Ia selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dalam wawancara bersama akhbar itu membidas Dr Mahathir kerana cuba menimbulkan kebimbangan mengenai projek itu dengan mendakwa ia akan menggadaikan kedaulatan negara.

Dr Mahathir mempertahankan dakwaannya, dan berkata mengundang pemaju asing dalam industri hartanah bukan satu bentuk pelaburan yang menguntungkan rakyat Malaysia.

Biarlah jika saya dituduh derhaka, Dr Mahathir jawab Sultan Johor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.