3 negara gantung misi cari MH370 di Lautan Hindi

3 negara gantung misi cari MH370 di Lautan Hindi

Menurut kenyataan bersama 3 negara itu, pesawat terbabit 'tidak dikesan' di kawasan pencarian seluas 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi.

mh370-search
SYDNEY: Misi mencari pesawat MH370 digantung selepas 3 tahun tanpa sebarang hasil, kata kerajaan Australia, Malaysia dan China hari ini.

Pesawat Malaysia Airlines itu hilang daripada radar ketika membawa 239 penumpang dan kru dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan 3 negara itu, pesawat itu “tidak dikesan” di kawasan pencarian seluas 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi.

“Pencarian itu masih gagal mengesan pesawat terbabit, selepas setiap usaha menggunakan sains terbaik, teknologi paling canggih, model dan nasihat profesional berkemahiran tinggi dalam bidang mereka.

“Oleh itu, pencarian dasar laut MH370 digantung,” kata kenyataan itu.

Kerajaan itu berkata, penggantungan itu tidak “dipandang ringan atau tanpa kesedihan” tetapi “sehingga kini tiada maklumat baru ditemui untuk menentukan lokasi tertentu pesawat itu”.

“Kami masih berharap maklumat baru akan muncul dan kelak pesawat itu dapat dikesan.”

Setakat ini, penyiasat mengesahkan 3 serpihan yang ditemui di barat pinggir Lautan Hindi adalah milik pesawat MH370.

Serpihan lain yang kebanyakannya ditemui di barat pinggir Lautan Hindi mungkin, tetapi tidak pasti daripada MH370.

Analisis baru pakar antarabangsa dan Austaralia yang dikeluarkan Disember lalu menyimpulkan MH370 tidak berada dalam zon pencarian itu.

Mereka mengenal pasti sebuah kawasan seluas kira-kira 25,000km persegi mempunyai kebarangkalian tertinggi bangkai MH370 berada, tetapi Australia dan Malaysia berpendapat laporan itu tidak mempunyai petunjuk kuat untuk memperluaskan pencarian.

Persatuan waris Voice370 berkata, mereka “kecewa” dengan penggantungan misi itu dan menggesa pihak berkuasa meneruskan pencarian.

“Pada pandangan kami, meneruskan pencarian di kawasan baru yang dikenal pasti pakar adalah tugas tidak dapat dielakkan demi kepentingan keselamatan penerbangan.

“Pesawat komersial tidak boleh hanya dibenarkan hilang tanpa dikesan,” kata Voice370 dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.