
“Dalam usaha menghentikan pelaksanaan itu, satu-satunya cara adalah kerajaan Malaysia merujuk Singapura ke ICJ,” kata peguamnya kepada FMT.
“Ini adalah salah satu cara menghentikan pelaksanaan itu kerana semua saluran undang-undang domestik tidak berkesan. Kita perlu segera berbuat demikian untuk menyelamatkan nyawanya,” kata peguam N Surendran tentang percubaan anak guamnya membatalkan sabitan di mahkamah Singapura.
S Prabagaran bakal berhadapan pelaksanaan hukuman dalam masa beberapa minggu kerana mengedar dadah.
Ibunya menyerahkan memorandum kepada Putrajaya pada 21 Dis untuk campur tangan.
“Tetapi, ia seolah-olah kerajaan tidak melakukan apa-apa,” kata Surendran.
Beliau menambah: “Ia juga menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia mempertahankan Prabagaran dan setiap rakyat Malaysia di luar negara yang berada dalam kesusahan.”
Peguam akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaysia untuk memaksa Putrajaya membawa kes itu ke mahkamah global, ICJ.
Prabagaran didapati bersalah pada 2012 selepas 22.24g diamorphine, sejenis heroin asli, ditemui di dalam keretanya di pusat pemeriksaan imigresen Singapura.
Beliau mengaku tidak bersalah dan mendakwa tidak memiliki kereta yang dipandu serta tidak menyedari kehadiran dadah di dalamnya.
Katanya, beliau juga membantu Pusat Biro Narkotik Singapura memerangi aktiviti dadah.