Nelayan asing ceroboh perairan terima latihan tentera, kata menteri

Nelayan asing ceroboh perairan terima latihan tentera, kata menteri

Ia susulan cara kedatangan mereka yang agresif diiringi bot pengawal pantai dan berani melanggar bot penguat kuasa negara, kata Shahidan Kassim.

shahidan-kassim
KUALA PERLIS:
Laporan media yang nelayan sebuah negara asing menceroboh perairan negara tahun lepas untuk menangkap ikan mendapat latihan separa tentera ada kebenarannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, dakwaan itu dikuatkan melihat cara kedatangan nelayan asing itu secara agresif dalam kumpulan 150 buah bot besar-besar dengan diiringi bot pengawal pantai menyebabkan mereka berani melanggar bot penguat kuasa Malaysia.

“Laporan media itu sama dengan maklumat yang kita peroleh, nelayan asing ini dilatih tentera,” kata Shahidan kepada media selepas melancarkan penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) dan Pasukan Kadet Maritim Malaysia (Paskam) di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diarahkan agar tidak bertolak ansur dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Shahidan berkata bot nelayan negara asing tersebut adalah paling kurang ditangkap oleh Maritim Malaysia berbanding bot nelayan Vietnam, Thailand atau Indonesia.

Katanya, laut China Selatan di Sabah dan Sarawak adalah antara kawasan strategik pencerobohan nelayan asing selain perairan Kelantan dan Terengganu yang berlaku setiap hari.

“Atas kesedaran agar perairan negara lebih selamat, kerajaan menubuhkan PSSMM dan Paskam supaya rakyat dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan membantu Maritim Malaysia membanteras jenayah di laut,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau berkata tindakan terhadap nelayan tempatan lebih kepada pendidikan yang berbeza dengan tindakan terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Shahidan berkata 2 kapal peronda pantai disumbangkan Jepun manakala beberapa kapal peronda yang ditempah di negara China apabila diterima kelak akan meningkatkan keupayaan menjaga kedaulatan negara.

Katanya, perairan negara khususnya laut dalam menjadi tumpuan pencerobohan nelayan asing kerana kekayaan sumber ikan sedangkan tidak ramai nelayan Malaysia sanggup meneroka laut dalam.

Mengenai PSSMM, beliau berkata Maritim Malaysia mensasarkan seramai 5,000 orang menganggotai pasukan itu pada akhir Februari depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata tindakan agresif agensi itu berjaya menurunkan kes jenayah di laut sehingga di bawah paras 3% dalam tempoh 3 tahun terakhir.

Beliau berkata dalam tempoh itu pemeriksaan meningkat kepada kira-kira 33,000 kes setahun berbanding 27,000 pemeriksaan sebelum itu tetapi yang didapati melakukan kesalahan jenayah tidak sampai 3%.

Di samping itu jumlah ikan yang didaratkan pada 2013 berjumlah RM8.7 bilion berbanding RM4 bilion sahaja pada 2003, kata Puzi.

Katanya keberkesanan tindakan Maritim Malaysia jelas dengan rampasan lebih 900 bot nelayan asing dan lebih 200 daripadanya dijadikan tukun tiruan sejak ditubuhkan 12 tahun lepas.

“Tiap-tiap bot ini mampu menangkap 200 hingga 300 metrik tan ikan setahun. Jadi, hasil negara yang diselamatkan bernilai berbilion ringgit setahun.

“Bot-bot yang dilucut hak dan dilelong pula memberi hasil lebih RM300 juta,” tambahnya.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun mengambil tindakan hati-hati bagi menjaga kepentingan negara dan hubungan 2 hala dengan negara asing, namun kepentingan nelayan Malaysia mencari makan tetap menjadi keutamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.