Pelan pemulihan Malaysia Airlines berjalan lancar, kata Khazanah

Pelan pemulihan Malaysia Airlines berjalan lancar, kata Khazanah

Azman Mokhtar berkata, MAB sudah mengumumkan ia berada di landasan tepat untuk mendapat pulangan modal dan untung.

Azman-Mokhtar

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) mencatat prestasi lebih baik pada 2016 dan momentumnya dijangka berterusan tahun ini, didorong Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS (MRP), kata Khazanah Nasional
Bhd.

Khazanah merupakan pemegang saham tunggal MAB.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar juga yakin selepas 28 bulan pelaksanaannya, pelan pemulihan 5 tahun itu berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

“Ia (MAB) mencatat perkembangan yang baik. Insya-Allah, tahun depan atau tahun berikutnya…malah MAB sendiri sudah mengumumkan ia berada di landasan tepat untuk mendapat pulangan modal dan untung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi kewangan dan strategik Khazanah bagi tahun 2016 serta prospek 2017, semalam.

Pada Ogos 2014, Khazanah yang juga sayap pelaburan kerajaan mengumumkan MRP bernilai RM6 bilion dalam usaha membolehkan MAB kembali mencatat keuntungan serta menghidupkan semula syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Pelan itu termasuk mengurangkan sehingga 30% daripada 20,000 tenaga kerjanya serta memperkenalkan entiti baharu yang disusun semula dan kini dikenali sebagai MAB.

Pada 1 Julai 2016, MAB melantik Ketua Pegawai Operasinya, Peter Bellew untuk menggantikan Christoph Mueller sebagai ketua pegawai eksekutif baharu.

Mengulas prestasi ringgit sepanjang 2016, Azman juga yakin ringgit jelas sekali dinilai lebih rendah.

“Sama ada (kadar susut nilai adalah) 10%, 8% atau 12%, kami yakin ringgit itu jelas sekali sudah dinilai rendah,” katanya.

Malah, katanya, Khazanah turut melakukan penyelidikan dalaman terhadap prestasi mata wang berkenaan.

Ringgit menutup tahun 2016 pada paras paling lemah, iaitu 4.4845/4875 berbanding dolar AS daripada 4.2900/2970 yang dicatatkan pada 31 Disember 2015.

Nilai tertinggi dicatatkan adalah 3.8660/8720 berbanding dolar AS pada 20 April 2016.

Ia ditutup pada paras 4.4600/4640 berbanding dolar AS semalam daripada 4.4560/4600 kelmarin.

Merujuk prospek pemulihan ringgit, Azman berkata: “Isunya adalah tempoh untuk ringgit bergantung kepada jangka masa serta dasar kadar faedah (khususnya dari Amerika Syarikat).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.