
Datuk Johari Abdul Ghani dipetik Malaysiakini berkata, 1MDB belum memasuki peringkat gulung tikar, sekaligus menolak laporan Straits Times Singapura yang Putrajaya membuat persediaan asas untuk menutup sayap pelaburan strategik milik kerajaan itu.
“Ia tidak menggulung tikar tetapi ia dalam operasi ‘run-off’. Kami tidak menjalankan sebarang perniagaan baharu.
“Kita tidak boleh menutup syarikat itu sehingga semua hutang diselesaikan dan baki daripada pelupusan aset diperolehi,” katanya kepada Malaysiakini dalam satu mesej teks.
Menurut laporan Singapura, Jawatankuasa Budiman, unit kerajaan peringkat tinggi yang dipengerusikan Johari merancang memindahkan aset 1MDB kepada 2 syarikat milik Kementerian Kewangan, iaitu Piramid Pertama dan Aroma Teraju dalam beberapa bulan lagi.
Aset itu termasuk Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia di Kuala Lumpur dan tanah seluas 94.7 hektar di Ayer Itam, Pulau Pinang.
Menurut laporan, sejak 2 tahun lalu, 1MDB yang dibelenggu masalah kewangan bertindak melupuskan asetnya.
Malaysiakini melaporkan langkah berkenaan adalah sebahagian usaha 1MDB untuk mengurangkan hutangnya yang berjumlah sekitar RM50 bilion pada kemuncaknya. Hutang semasa 1MDB dianggarkan As$4.78 bilion (RM21.3 bilion).