Selesaikan soal gaji sebelum benarkan Rohingya bekerja, kata NGO

Selesaikan soal gaji sebelum benarkan Rohingya bekerja, kata NGO

Zafar berkata, kerajaan tidak sepatutnya memulakan program itu tanpa berbincang dengan wakil pelarian terlebih dahulu.

zafar-rohingya
PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan Rohingya tempatan menggesa kerajaan menangguhkan program mengambil pelarian Rohingya bekerja di sektor perladangan sehingga soal gaji dan kebajikan diselesaikan melalui rundingan dengan etnik itu terlebih dahulu.

“Bagaimana mereka boleh bekerja jika butiran ini tidak jelas,” kata Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia, Zafar Ahmad Abdul Ghani kepada FMT.

Beliau merujuk program perintis yang dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, baru-baru ini.

Zafar berkata, kerajaan tidak sepatutnya memulakan program itu tanpa berbincang dengan wakil pelarian terlebih dahulu.

Merujuk kenyataan Nur Jazlan yang Rohingya tidak suka bekerja di sektor pembuatan, beliau hairan dari mana timbalan menteri itu mendapat idea berkenaan.

Beliau sebaliknya berkata, pelarian mungkin tidak suka bekerja di sektor perladangan.

“Sesetengah rakan saya takut bekerja di ladang kelapa sawit kerana mereka ada tanggapan biji sawit akan jatuh dan terkena mereka.”

Baru-baru ini, Nur Jazlan dilaporkan berkata, kerajaan dalam proses mengatur kerja di ladang untuk 300 pelarian Rohingya melalui sebuah program perintis.

Beliau berkata, kerajaan sudah menubuhkan sebuah pasukan petugas bersama Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) untuk mengenal pasti 300 etnik Rohingya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan bagaimanapun tidak yakin etnik Rohingya boleh menyesuaikan diri untuk bekerja dan tinggal di estet.

“Konflik mungkin timbul antara mereka dan penyelia jika mereka tidak selesa di tempat kerja.”

Katanya, beliau bimbang program itu akan menarik lebih ramai pelarian ke Malaysia.

“Ia tidak boleh dilihat sebagai galakan untuk pelarian lain datang ke Malaysia,” katanya sambil menambah syarat kelayakan untuk kerja perlu dinyatakan dengan jelas.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, pelarian perlu mendapat layanan sama seperti pekerja lain.

“Mereka tidak patut diupah kerana simpati. Bayar mereka sewajarnya dan sumbang kepada dana pencen mereka. Jika tidak, ia bercanggah dengan matlamat program ini.”

Katanya, dokumentasi yang betul perlu disediakan untuk melindungi hak mereka dan memastikan mereka tidak menjadi mangsa buruh paksa.

 

Perlu ada hitam putih jika mahu Rohingya bekerja di Malaysia

Pelarian Rohingya akan diberi kebenaran bekerja di Malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.