Seks suka sama suka bukan jenayah, kata kerajaan Indonesia

Seks suka sama suka bukan jenayah, kata kerajaan Indonesia

Mahkamah Perlembagaan Indonesia sedang mendengar hujah kerajaan yang mencabar petisyen sebuah pertubuhan membantah seks luar nikah, yang mahu kelakuan itu dikategorikan sebagai jenayah.

sex_Indonesia_law_600
PETALING JAYA:
Mahkamah Perlembagaan Indonesia semalam meneruskan mendengar hujah sebelum memutuskan sama ada mengharamkan hubungan seks suka sama suka, susulan petisyen oleh sebuah pertubuhan, Aliansi Cinta Keluarga (AILA), yang mahu kelakuan itu dianggap satu kesalahan di sisi undang-undang.

Dalam perbicaraan semalam, Jakarta Post memetik wakil Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Indonesia sebagai memberitahu mahkamah, hubungan seks suka sama suka antara 2 orang yang tidak mempunyai talian suami-isteri bukan merupakan jenayah.

Menurut Hotman Sitorus yang mewakili kementerian itu bagi pihak kerajaan Indonesia, kelakuan itu terletak di bawah soal moral dan bukan jenayah.

“Tanpa ragu, kerajaan mempunyai pendirian sama iaitu seks luar nikah bertentangan dengan akhlak kita. Cuma di sini ada prinsip perundangan ‘tiada mangsa, maka tiada jenayah’,” kata Hotman, dipetik akhbar itu.

Kerajaan Indonesia memohon supaya mahkamah menolak petisyen yang mahu seks di luar perkahwinan dianggap salah di sisi undang-undang.

Petisyen yang difailkan AILA itu turut mendapat sokongan beberapa individu termasuk pensyarah, suri rumah dan pekerja swasta, yang mahu beberapa pindaan dalam Kanun Jenayah.

Kanun Jenayah Indonesia tidak menganggap hubungan seks di luar perkahwinan mahupun seks sejenis sebagai jenayah.

Undang-undang Indonesia bagaimanapun menganggap seks melibatkan lelaki dan wanita yang sudah berkahwin serta kanak-kanak sebagai satu kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.