Abang Johari ketua menteri ke-6 Sarawak

Abang Johari ketua menteri ke-6 Sarawak

Beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Astana, Kuching petang ini.

 

Abang-Johari-Sarawak
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg hari ini dilantik sebagai ketua menteri Sarawak ke-6 menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada Rabu.

Timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berpengalaman luas dalam politik dan pernah menjadi calon pilihan bagi jawatan ketua menteri pada 2014 ketika Taib meletak jawatan.

Abang Johari, 66, ialah Adun Satok dan memegang kerusi itu selama 9 penggal sejak memenanginya kali pertama pada pilihan raya pada 1981.

Abang Johari ialah bekas setiausaha politik kepada Taib ketika beliau menjadi ketua menteri Sarawak.

Beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan yang di-pertua negeri di Astana, Kuching petang ini.

Beliau dilantik sebagai menteri muda pembangunan wilayah dan sosial negeri pada Mac 1984, dan 3 tahun kemudian memegang jawatan menteri pertanian dan pembangunan masyarakat.

Abang Johari mempunyai 10 adik-beradik dan bapanya, Tun Abang Openg ialah gabenor pertama Sarawak (Yang di-Pertua) selepas Sarawak merdeka daripada British pada 22 Julai 1963 dan apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Prestasi Abang Johari sebagai pengarah kempen pilihan raya BN untuk pilihan raya Sarawak pada Mei lalu cemerlang apabila berjaya mempertahankan semua 40 kerusi PBB.
Pada pilihan raya negeri tahun lalu, BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi negeri, melebihi sasaran yang diumumkan sebelum itu, 68 kerusi.

Beliau juga memainkan peranan dalam membantu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menawan kembali 5 kerusi daripada DAP.

Abang Johari berjaya meningkatkan sokongan BN dalam kalangan pengundi Bumiputera di kawasan pinggir bandar dan bandar yang ditandingi calon majoriti Cina, sehingga menyebabkan 40% kerusi disandang pembangkang, berjaya ditawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.