Wanita jual tisu sedih dituduh berpura-pura buta

Wanita jual tisu sedih dituduh berpura-pura buta

Kisah wanita itu viral di laman sosial dan didakwa berpura-pura buta dan menjual tisu, serta mendeposit wang RM14,000.

wanita_oku_600
JOHOR BAHRU:
Wanita menjual tisu yang kisahnya menjadi viral di laman sosial yang kononnya berpura-pura buta, adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata mata kanan wanita berusia 43 tahun itu buta sepenuhnya manakala mata kirinya hanya boleh mengesan warna terang.

Manayi berkata, wanita berkenaan hadir bersama-sama dua daripada 5 anaknya ke pejabat JKM pada pukul 10 pagi tadi.

“Dalam pertemuan itu, wanita itu dan anak-anaknya memberitahu JKM bahawa mereka kecewa dengan penyebaran gambar berkenaan di laman sosial,” katanya semalam.

Kisah wanita itu menjadi tular di laman sosial berikutan dia didakwa berpura-pura buta dan menjual tisu.

Manayi berkata JKM turut menasihatkan wanita itu mencari pekerjaan sesuai agar tidak mengundang perspektif serong masyarakat, selain meminta memperbaharui kad OKU berikutan kad yang ada pada simpanannya adalah kad lama.

Mengulas mengenai video yang menunjukkan dia mendeposit wang berjumlah RM14,000 di kaunter bank, Manayi berkata wanita itu memberitahu duit berkenaan adalah milik rakan peniaga tisu lain yang diserahkan kepadanya untuk disimpan di bank.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.