SPRM akui kesungguhan Adenan cegah rasuah

SPRM akui kesungguhan Adenan cegah rasuah

Adenan Satem memperkenalkan pelbagai dasar baharu dalam usaha memerangi rasuah dalam kerajaan negeri, khususnya aktiviti pembalakan haram

dzulkifli-ahmad_adenan
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akui Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia hari ini akibat komplikasi jantung, seorang pemimpin yang berintegriti dan bersungguh mencegah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Datuk Dzulkifli Ahmad, mewakili seluruh warga SPRM, mengucapkan takziah kepada ahli keluarga ketua menteri Sarawak atas pemergian Adenan.

“Allahyarham dikenali sebagai pemimpin yang mempunyai integriti dan memperlihatkan kesungguhan dalam meningkatkan kesedaran dan pencegahan terhadap rasuah menerusi kepimpinan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adenan disahkan meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kuching, kira-kira jam 1.20 tengah hari ini. Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Anu, dan 5 orang anak.

Adenan sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 27 Januari ini.

Berdasarkan pencarian FMT, Adenan memperkenalkan pelbagai dasar baharu dalam usahanya memerangi rasuah, khususnya aktiviti pembalakan haram.

Antaranya tidak memperbaharui lesen syarikat pembalakan dan tidak membenarkan penerokaan baharu dilakukan. Adenan turut menutup 30 kilang pembalakan di seluruh negeri Sarawak dan menghalang balak diangkut keluar.

Populariti beliau dikatakan penyebab utama kemenangan bergaya Barisan Nasional pada pilihan raya negeri tahun lepas.

Guan Eng hormati reputasi Adenan bebas daripada skandal

Pengganti Adenan hadapi penanda aras tinggi, kata penganalisis

Wan Junaidi: Adenan bukan sekadar pemimpin, dia seorang kawan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.