
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Persatuan Gabungan Guru-Guru Sekolah Cina (Dong Jiao Zong), berkata kenyataan Muhyiddin memutar-belitkan fakta apabila mendakwa kumpulan itu “keterlaluan” kerana enggan menerima cadangan kerajaan untuk memasukkan mata pelajaran Sejarah.
“Sesiapa sahaja yang mendakwa sukatan pelajaran UEC kami bertentangan dengan sistem kebangsaan sudah menyebarkan pembohongan.”
“Sukatan pelajaran peperiksaan kami mencerminkan semangat kepelbagaian budaya di Malaysia dan sejajar dengan taraf antarabangsa,” kata mereka, sambil menambah sekolah persendirian Cina menghasilkan graduan yang menyumbang kepada masyarakat.
Dalam temubual dengan Sin Chew Daily hari ini, Muhyiddin berkata Pakatan Harapan mungkin tidak akan mengiktiraf UEC sekiranya mereka mengambil alih kerajaan.
Beliau menambah, “Pakatan akan mengekalkan pendirian tidak boleh ada konflik dengan pendidikan negara dalam menangani permohonan (untuk mengiktiraf UEC)”.
Muhyiddin memberitahu akhbar berbahasa Cina itu yang Dong Jiao Zong tidak harus ‘berlaga kepala’ dengan kerajaan dalam memperjuangkan pengiktirafan UEC itu.
Beliau berkata, kumpulan Cina harus menerima cadangan untuk memasukkan Sejarah ke dalam sukatan pelajaran UEC.
Lebih 1,000 universiti antarabangsa dan universiti swasta tempatan menerima graduan UEC untuk pengajian ijazah tanpa menghadiri kursus pra-universiti.
Dong Jiao Zong berkata Muhyiddin, yang sebelum ini menteri pendidikan, tidak melihat Malaysia sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum.
“Semasa memegang portfolio tersebut, dia telah menyeru kepada penubuhan sekolah satu aliran. Ini menunjukkan beliau tidak menghormati kepelbagaian budaya dan dilihat mempunyai niat untuk merosakkan semangat ini,” kata mereka.
Mereka menegaskan sukatan UEC tidak bermasalah kerana graduan boleh memasuki institusi pendidikan perguruan semasa Muhyiddin sebagai menteri pendidikan.
“Kerajaan sebenarnya yang tidak mahu mengiktiraf pelajar-pelajar kita,” kata mereka.
Dong Jiao Zong juga menyeru pihak kerajaan untuk membetulkan “kesilapan” dalam kandungan di buku teks Sejarah sekolah rendah kebangsaan.
“Bagi tahun-tahun yang lalu, kandungan buku tersebut didapati tidak wajar dalam semangat budaya dan memberi tumpuan hanya pada bangsa atau agama tertentu,” kata mereka.