Kenapa ada batu nisan di sekolah, soal Waytha

Kenapa ada batu nisan di sekolah, soal Waytha

Pengerusi Hindraf berkata batu nisan dengan replika kubur yang diletakkan di SMK Sultan Abdul Samad in Bukit Kuda, Klang itu diletakkan ketika musim cuti persekolahan hujung tahun lalu.

P-Waythamoorthy
PETALING JAYA:
Kenapa ada batu nisan di kawasan sekolah kerajaan? Itu soalan P Waythamoorthy kepada Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam sepucuk surat kepada Mahdzir bertarikh hari ini, pengerusi Hindraf itu berkata batu nisan dengan replika kubur itu diletakkan di SMK Sultan Abdul Samad in Bukit Kuda, Klang itu dibina ketika musim cuti persekolahan hujung tahun lalu.

“Kami dimaklumkan pengetua sekolah itu bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa individu lain yang tidak dikenali membina batu nisan itu.

“Mereka melakukannya tanpa kebenaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu. Apa yang lebih menghairankan ialah sekolah itu ada 80% pelajar bukan Islam,” kata Waytha.

Menggelar ia sebagai sebahagian usaha segelintir pegawai kerajaan dengan agenda Islamisasi, Waytha berkata ia menunjukkan mereka langsung tidak mengambil kira perasaan pelajar dan ibu bapa kaum lain.

“Pegawai kerajaan dengan agenda agama ekstrem di sekolah kerajaan menunjukkan mereka tidak mengambil kira perasaan bangsa lain kerana begitu selamba meletakkan kubur dan batu nisan itu.

“Tidak tahu apa tujuannya dan tidak tahu bagaimana tindakan itu dapat menjaga kepentingan pelajar pelbagai bangsa dan agama. Adakah ini sebahagian daripada agenda Islamisasi lebih besar dalam sistem pendidikan untuk sebab politik?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat itu dan satu salinan turut dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang bertanggungjawab dalam hal perpaduan dan integrasi.

Waytha, yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata apa jua Islamisasi di sekolah kebangsaan, dengan kakitangan terdiri daripada satu bangsa saja di sekolah akan menyebabkan polarisasi rakyat Malaysia semakin besar pada masa depan.

“Rakyat juga jadi takut dengan sekolah kerajaan. Pendidikan di sekolah kerajaan sepatutnya mengenai pendidikan tinggi wajib tanpa indoktrinasi agama.

“Tindakan ejen provokasi di SMK Sultan Abdul Samad jelas menunjukkan ia melanggar dasar dan pelan tindakan pendidikan yang kerajaan mulakan,” katanya.

Waytha juga mendesak Mahdzir menyatakan yang tindakan itu bukan sebahagian dasar kerajaan, dan sekolah kebangsaan perlu bebas daripada sebarang pengaruh agama untuk menghasilkan sekolah beridentiti Malaysia, seperti dinyatakan dalam Laporan Tahunan Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia 2012-2025 yang dikeluarkan 9 Ogos tahun lalu.

“Kami percaya ia bukan dasar Kementerian Pendidikan untuk membina kubur dan batu nisan di sekolah kebangsaan dan ini kejadian terpencil yang didorong oleh kakitangan awam di sekolah itu.

“Kami desak anda secara serta-merta menyiasat perkara itu dan menegur kakitangan awam yang terlibat tanpa menyebabkan kegelisahan pelajar serta ibu bapa di sekolah berkenaan. Batu nisan itu perlu dikeluarkan bagi semua tujuan praktikal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.