Faiz Subri inspirasi pemain bola sepak negara, kata PM

Faiz Subri inspirasi pemain bola sepak negara, kata PM

Datuk Seri Najib Razak berkata kejayaan penyerang Pulau Pinang itu menerima Anugerah Puskas juga mengharumkan nama Malaysia.

najib-faiz
KUALA LUMPUR: Kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 memberi inspirasi kepada pemain bola sepak negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata kejayaan yang dicipta penyerang Pulau Pinang itu melalui hasil keunikan sepakan percuma, pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia) juga mengharumkan nama Malaysia.

“Tahniah Faiz Subri! Kejayaan anda di #FIFAPuskasAward 2016 akan beri inspirasi kepada semua pemain bola sepak Malaysia dan juga harumkan nama negara!,” katanya dalam laman Facebook dan Twitternya hari ini.

Jaringan menarik Faiz itu menerima undian 59.46% mengalahkan 2 lagi calon – Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86% dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01%.

Faiz menerima anugerah tersebut daripada bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

Gol tercantik dunia Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Februari tahun lepas.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puska, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.