
Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Hamazah Ab Razak berkata, penemuan itu diperoleh hasil soal siasat ke atas wanita berusia 36 tahun terbabit.
Menurutnya, penemuan terbaharu hasil siasatan itu juga menunjukkan wanita itu mungkin mengambil upah menjaga Muhammad Adam.
“Berdasarkan siasatan, wanita itu mendakwa Muhammad Adam bukanlah anaknya, sebaliknya anak rakannya. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesahkan perkara itu dan wanita terbabit masih ditahan reman sehingga esok.
“Setakat ini, kita belum kenal pasti identiti ibu kandung mangsa. Kita perlu memanggil beberapa saksi untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamazah berkata, polis mungkin akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas berjaya mengesan ibu kandung Muhammad Adam.
“Setakat ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang membuat penilaian dari segi kelayakan untuk menjaga kanak-kanak itu, berikutan sebelum ini bapa wanita berkenaan menawarkan diri untuk menjaganya,” katanya.
Muhammad Adam ditemui dalam sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, dekat Tampin kira-kira 1 pagi Jumaat lalu, dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan.
Beliau dipercayai ditinggalkan ibunya seorang diri sejak 6 petang Khamis lalu, sebelum ditemui sehari kemudian apabila sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk ke rumah tersebut.
Tindakan itu susulan laporan polis yang dibuat ketua kampung pada 12.45 tengah malam yang menyatakan terdengar bunyi budak sedang menangis dalam sebuah rumah yang berkeadaan gelap dan berkunci.
Susulan itu, seorang wanita yang dikatakan ibu Muhammad Adam ditahan reman untuk membantu siasatan, manakala mangsa masih dirawat di Hospital Tampin.