Kes ke-3 terpotong kepala kemaluan ketika berkhatan

Kes ke-3 terpotong kepala kemaluan ketika berkhatan

Ibu bapa mangsa mendapati berlaku pendarahan di kemaluan dan air kencing anak mereka mengalir keluar dari lubang di bahagian bawah batang kemaluan akibat kecederaan pada saluran kencing.

Datuk-Dr-Noor-Hisham-Abdullah
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan sedang menyiasat satu lagi kes kanak-kanak berusia 10 tahun terpotong sebahagian kepala kemaluannya ketika menyertai majlis berkhatan beramai-ramai di Sungai Buloh, pada 25 November lalu, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata, kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Selayang 2 hari selepas menjalani prosedur berkhatan di surau berhampiran rumahnya.

Katanya, ibu bapa mangsa mendapati berlaku pendarahan di kemaluan dan air kencing anak mereka mengalir keluar dari lubang di bahagian bawah batang kemaluan (fistula korona) akibat kecederaan pada saluran kencing.

“Setelah diperiksa di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, didapati tiada pendarahan aktif di kemaluan seperti dilaporkan akhbar.

“Ibu bapa diberi penjelasan oleh pakar pembedahan urologi kanak-kanak yang rawatan pembedahan seelok-eloknya dilakukan setelah bengkak surut dan saluran darah ke kepala kemaluan menjadi lebih lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, ibu bapa kanak-kanak itu mengambil keputusan mendapatkan pandangan pakar hospital swasta dan menandatangani pelepasan keluar dari Hospital Selayang atas tanggungan risiko sendiri.

Katanya, Hospital Selayang turut memberi catatan rujukan ringkas kepada hospital swasta itu bagi menjelaskan status pesakit, selain memaklumkan ibu bapa terbabit anak mereka boleh kembali mendapatkan rawatan susulan pada bila-bila masa.

Ini adalah kejadian ke-3, selepas 2 kes pada bulan lalu.

Pada 15 Disember lalu, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas kepala kemaluannya terputus ketika prosedur berkhatan menggunakan gunting di sebuah klinik swasta di Jalan Ipoh.

Keluarga mangsa kemudiannya menghantar anak mereka ke HKL pada petang hari kejadian bagi menyambung semula kepala kemaluan yang terputus, namun selepas hampir seminggu, kemaluan mangsa bertukar hitam.

Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpotong kemaluannya ketika prosedur berkhatan menggunakan kaedah laser di sebuah klinik di Taman Cheras Utama, Kajang, kira-kira jam 8 malam 20 Disember lalu.

Doktor memberitahu bapa mangsa dia tidak sengaja terpotong kepala kemaluan anaknya. Kanak-kanak itu terus dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan dan dirujuk ke HKL untuk pembedahan menyambung semula kepala kemaluan mangsa.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun berkhatan ialah prosedur ringkas, namun komplikasi prosedur itu mungkin parah dan membawa padah kepada pesakit.

Sehubungan itu, katanya, pengamal kesihatan bertanggungjawab memastikan mereka mempunyai tahap kecekapan dan pengalaman mencukupi untuk menjalankan prosedur berkhatan.

“Mereka diingatkan sebarang komplikasi yang terjadi adalah di bawah tanggungjawab masing-masing sebagai pengamal kesihatan.”

Ibu bapa kecewa HKL gagal cantum zakar anak

Tiada tindakan lanjut kes zakar putus semasa berkhatan, kata polis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.