Tiada kesan dera fizikal kanak-kanak ditinggal sendirian

Tiada kesan dera fizikal kanak-kanak ditinggal sendirian

Muhammad Adam kini dalam keadaan baik dan aktif.

bdk3-tahun
SEREMBAN: Laporan perubatan Hospital Tampin menunjukkan tiada kesan penderaan fizikal ditemui pada kanak-kanak lelaki 3 tahun yang ditemui bersendirian dalam keadaan bogel di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin, awal pagi semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, Muhammad Adam kini dalam keadaan baik dan aktif.

Beliau berkata, kementeriannya memandang serius kejadian yang menimpa Muhammad Adam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau rapi kes ini.

“Kementerian melalui JKM sudah menjalankan sesi intervensi awal bersama kaunselor terhadap kanak-kanak tersebut, sebaik dia dimasukkan ke wad di Hospital Tampin.

“JKM juga akan melengkapkan siasatan untuk menempatkannya di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai, iaitu datuknya yang menyatakan hasrat menjaga kanak-kanak itu sebelum dia dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dipetik Bernama.

Rohani berkata, Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan Seksyen 31 dan Seksyen 33 berhubung tanggungjawab ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan serta membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan sepatutnya, merupakan satu kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, ibu bapa boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 31 dan denda tidak lebih daripada RM20,000 atau dipenjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 33.

“Selain itu, individu yang didapati bersalah juga dikehendaki menjalani perintah khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori bagi kedua-dua Seksyen terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Hamazah Ab Razak berkata, ibu kanak-kanak itu masih direman sehingga Isnin dan akan didakwa di mahkamah di Tampin.

Kanak-kanak malang itu ditemui dalam sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, dekat Tampin, kira-kira 1 pagi semalam, dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan.

Kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh ibunya sejak 6 petang Khamis lalu, sebelum ditemui semalam selepas sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk ke rumah tersebut.

Tindakan itu susulan laporan polis yang diterima daripada ketua kampung pada jam 12.45 tengah malam menyatakan terdengar suara budak sedang menangis di sebuah rumah dalam keadaan gelap dan berkunci.

Budak 3 tahun menangis semalaman seorang diri

Kanak-kanak ditinggal sendirian akan dijaga datuk

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.