Makin ramai warga Pulau Pinang guna gajet parkir pintar

Makin ramai warga Pulau Pinang guna gajet parkir pintar

SPG disediakan dalam 2 pakej – RM75 dengan kredit RM50 dan RM275 dengan kredit RM300, yang amat popular bagi pemandu yang menggunakan tempat letak kereta majlis secara kerap.

penang_parking_600
GEORGE TOWN:
Semakin ramai warga Pulau Pinang beralih kepada kaedah membayar tempat letak kereta pihak berkuasa tempatan menerusi cara berteknologi tinggi, Gajet Parkir Pintar (SPG).

Sejak dilancarkan pada Oktober, Pengurus Operasi Perkhidmatan Alam Indah Sdn Bhd Eric Voon berkata syarikat itu yang memegang konsesi tempat letak kereta sudah mengedarkan lebih 7,700 unit SPG dan menyediakan senarai menunggu untuk mereka yang sudah mendaftar untuk mendapatkannya.

“Setiap hari ada orang datang untuk mendapatkan unit mereka,” katanya kepada FMT.

SPG disediakan dalam 2 pakej – RM75 dengan kredit RM50 dan RM275 dengan kredit RM300, yang amat popular bagi pemandu yang menggunakan tempat letak kereta majlis secara kerap.

Voon berkata syarikat memberikan alat itu secara percuma dan hanya mengenakan RM25 untuk pengecas dalam kereta, kabel USB dan pemegang.

Dengan menggunakan gajet itu, pemandu hanya perlu membayar tempoh tepat penggunaan tempat letak kereta, tidak seperti sebelum ini kupon 40 sen untuk 30 minit, sejam (80 sen) dan sehari (RM6).

Saiz SPG sebenar kalkulator poket. Ia dilengkapi kad pintar prabayar. Kredit tempat letak kereta akan berkurangan mengikut tempoh meletak kereta apabila pemasa dihidupkan.

Pengguna juga boleh memulakan dan menamatkan pemasa tempat letak kereta menggunakan SMS – ciri sangat berguna untuk mereka yang terlupa menghidupkan alat itu selepas parkir kereta, atau mahu mematikannya bila waktu parkir berbayar tamat.

Di bahagian pulau negeri itu, caj bayaran tempat letak kereta majlis bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, dan di beberapa tempat lain, dari 9 pagi hingga tengah malam, bergantung pada kawasan dan hari.

Bila kredit berkurangan, pengguna boleh menambahnya secara online atau membeli kad isian semula pada harga minimum RM10 di kedai serbaneka dan stesen petrol.

Voon berkata tamat tempoh setiap unit SPG ialah setahun selepas tarikh dikeluarkan, tetapi kredit yang tidak digunakan boleh dibawa ke tahun berikutnya.

“Pengguna perlu membawa alat itu kembali kepada kami untuk diselenggara bila tempohnya tamat. Kami akan memastikan baki kredit boleh dibawa ke tahun berikutnya. Yuran penyelenggaraan ialah RM25,” katanya.

Setakat ini, katanya tidak ada aduan teruk daripada pengguna, hanya isu kecil seperti gangguan perisian dan ada yang mengadu ada alat yang cepat habis bateri.

“Ia bergantung pada penggunaan, sama seperti kita guna telefon bimbit. Jika selalu guna, bateri cepat habis. Jika alat itu dalam kereta di bawah terik matahari, baterinya juga akan cepat habis,” katanya.

Syarikat itu juga menyediakan kupon tempat letak kereta biasa.

Baru-baru ini, pembaca FMT merungut kerana kupon 40 sen dan 80 sen diletakkan dalam buku yang sama menyebabkan mereka yang tidak memerlukan kupon 80 sen terpaksa membelinya.

Voon berkata meletakkan kedua-dua jenis kupon itu bersama ialah penyelesaian terbaik yang dapat difikirkan syarikat itu kerana sebelum ini mereka dikecam kerana menjual buku kupon berbeza harga secara berasingan.

“Kami dimarahi kerana ramai orang tidak mahu beli 2 buku kupon. Mereka mahu kedua-duanya kupon 40 sen dan 80 sen secara bersama. Kami tukar buku kupon itu beberapa kali,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai SPG boleh didapati di www.spgautopark.com.my atau hubungi talian 04-6402220, sementara Alam Indah boleh dihubungi di 04-2281192.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.