Maximus Ongkili dilantik pemangku presiden PBS

Maximus Ongkili dilantik pemangku presiden PBS

Datuk Seri Maximus Ongkili menjadi timbalan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selama 23 tahun

Ongkili1
KOTA KINABALU: Datuk Seri Maximus Ongkili dilantik pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkuat kuasa serta-merta.

Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyerahkan kepimpinan parti kepada Maximus di mesyuarat majlis tertinggi parti di ibu pejabat PBS di sini hari ini.

“Pairin akan bercuti daripada tugas presiden tetapi akan terus menjalankan tugas menteri dan kerja kemasyarakatan sehingga penggal berakhir,” kata Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun dalam satu kenyataan hari ini.

Pelantikan Maximus itu merupakan fasa kedua peralihan kuasa parti itu.

Pada 29 Julai tahun lepas, Pairin memulakan proses peralihan kuasa dengan memberikan kuasa untuk melaksanakan tugas presiden kepada Maximus, yang menjadi timbalannya selama 23 tahun.

Mositun berkata Pairin akan masih membantu untuk memudahkan urusan, memberi nasihat dan bekerja untuk parti pada pilihan raya umum akan datang.

Manakala Maximus akan memantau semua urusan parti, termasuk persiapan pilihan raya.

Maximus juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di peringkat persekutuan.

“Tan Sri Pairin menyeru kepimpinan parti semua peringkat supaya memberikan kerjasama, bersatu dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang, dan memberi sokongan yang sama kepada pemangku presiden.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.