Kami beri kerjasama penuh kepada SPRM, kata Ismail Sabri

Kami beri kerjasama penuh kepada SPRM, kata Ismail Sabri

Ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dinamakan media sebagai pegawai kanan kerajaan yang ditahan SPRM semalam.

ismailsabri
PETALING JAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap ketua setiausahanya.

“Kementerian akan menyokong usaha SPRM membanteras rasuah serta penyelewengan,” kata Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob.

FMT menghubungi beliau selepas akhbar The Star hari ini menamakan Datuk Mohd Arif Ab Rahman sebagai ketua setiausaha kementerian yang ditahan semalam.

Semalam, suruhanjaya anti-rasuah mengumumkan seorang ketua setiausaha kementerian dan 2 individu lagi ditahan dalam siasatan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Semua suspek direman selama seminggu mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 (menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan), Seksyen 165 Kanun Keseksaan (menerima benda berharga, dengan tiada balasan, daripada seseorang yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya), dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

“‘Datuk’ berkenaan dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan.

Jongkong emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM3 juta dirampas dalam operasi semalam.

KSU kementerian, 2 anak lelaki direman 7 hari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.