
The Star memetik Zaid sebagai berkata, beliau mungkin bertanding di Johor Bahru atau kampung halamannya Kota Bharu, atau kerusi lain yang sesuai.
Bekas menteri itu juga bercadang bertanding atas tiket pembangkang, tetapi bukannya PAS.
The Star melaporkan wujud spekulasi DAP berminat merekrut Zaid bagi meningkatkan sokongan di kalangan pengundi Melayu di Johor.
Sabtu ini, Zaid akan memberi ceramah di Skudai, bertempat di kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini dipegang Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Zaid yang dipetik The Star berkata, beliau akan mengumumkan parti yang bakal disertainya tidak lama lagi.
“Ia (PRU14) akan menjadi pilihan raya tidak pernah dilihat mana-mana rakyat malaysia dan pengundi perlu menggunakan hak dan kebijaksanaan mereka ketika mengundi,” katanya.
Zaid memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu di bawah tiket Barisan Nasional pada PRU 2004 dan dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2008, sebelum beliau meletak jawatan pada 2009 untuk menyertai PKR.
Beliau turut bertanding di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010 di bawah tiket PKR, tetapi tewas kepada calon BN, P Kamalanathan.
Zaid kemudiannya meninggalkan PKR pada 2010 untuk menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) pada Januari 2011, sebelum meletak jawatan pada 2012.