Banjir naik walaupun hujan reda, mangsa di Kelantan, Terengganu meningkat

Banjir naik walaupun hujan reda, mangsa di Kelantan, Terengganu meningkat

Lebih 23,000 orang dipindahkan setakat 3.13 petang tadi

10
PETALING JAYA:
Walaupun lebat hujan berkurangan, ribuan lagi terpaksa dipindahkan selepas air banjir terus melanda pantai timur Malaysia Barat.

Menurut aplikasi Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, sejumlah 23,517 orang dipindahkan setakat 3.13 petang tadi, dengan 12,526 orang di Kelantan dan 10,991 orang di Terengganu.

Mangsa yang terselamat termasuk 4,504 kanak-kanak dan 355 bayi di Kelantan, dan 3,672 kanak-kanak dan 113 bayi di Terengganu.

Pada masa ini, 79 pusat mangsa banjir beroperasi di Kelantan dan 125 di Terengganu.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Hussin Ab Rahman berkata cuaca semakin cerah di Kelantan, tetapi air dari Sungai Rantau Panjang dan Kuala Krai terus mengalir menuju kawasan tanah rendah di Pengkalan Kubor dan Tumpat.

Rakan sejawatnya di Terengganu, Khairul Ariffin Che Ramli berkata lebat hujan berkurangan tetapi berterusan, menyebabkan paras air banjir naik.

Bomba dan penyelamat di kedua negeri sedang giat menjalankan operasi menyelamat.

Sementara itu, pusat khidmat pelanggan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibu negara berkata tiada notis pembatalan perjalanan bas ke atau dari Kelantan dan Terengganu.

Awal hari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan sudah membatalkan perkhidmatan kereta api ulang-alik antara Kuala Krai dan Tumpat sehingga diberitahu kelak, ekoran kenaikan paras air banjir.

Menurut KTMB, perkhidmatan ulang-alik hanya boleh didapati antara Kuala Lipis dan Dabong.

Di Terengganu, banjir menyebabkan 63 sekolah ditutup, memberi kesan kepada 16,938 pelajar dan 1,949 guru, lapor The Star.

Di Kelantan, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, dan Sungai Kelantan di Kusial masih melebihi paras bahaya.

Di Terengganu, paras air Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Sungai Besut di Jambatan Jerteh, Sungai Dungun di Kulai Jengai, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Telemong di Kuala Ping juga melebihi paras bahaya.

Floods: Kuala Krai-Tumpat shuttle train service cancelled

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.