2 kapal kontena berlanggar, minyak tumpah dekat pelabuhan Johor

2 kapal kontena berlanggar, minyak tumpah dekat pelabuhan Johor

Kapal Wan Hai dilaporkan mengalami kerosakan akibat terputus bekalan elektrik menyebabkan ia tidak boleh dikawal dan akhirnya melanggar bahagian tangki APL Denver.

ayub-rahmat_kapal_langar_60012
JOHOR BAHRU:
Tumpahan minyak dilaporkan berlaku berhampiran pelabuhan Johor di timur Selat Johor, dekat sini, malam tadi, akibat pelanggaran 2 kapal kontena antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat yang mengesahkan kejadian itu berkata, ia berlaku kira-kira 11.01 malam melibatkan kapal kontena APL Denver dan Wan Hai.

“Kapal Wan Hai dilaporkan mengalami kerosakan terputus bekalan elektrik menyebabkan kapal tidak boleh dikawal dan akhirnya melanggar bahagian tangki (milik APL Denver),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu mengakibatkan sejumlah minyak tumpah dari tangki milik APL Denver.

Menurut Ayub, hasil pemantauan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kebanyakan tumpahan itu memasuki kawasan perairan Singapura, terutama Pulau Ubin.

JAS sedang membuat siasatan ke atas 2 kapal terbabit.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Pelaburan Johor (LPJ) berkata, pasukan mereka sudah berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden itu.

Beliau berkata, segala tindakan awal sudah diambil, namun mereka masih menanti laporan penuh daripada pihak terlibat serta pihak berkuasa.

Media Singapura hari ini memetik Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) sebagai berkata, kapal Wan Hai 301 didaftarkan di republik itu, manakala APL Denver didaftarkan di Gibraltar.

Laporan berita itu juga berkata, tumpahan minyak akibat kerosakan pada tangki APL Denver itu dianggarkan kira-kira 300 tan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.