Tiada percanggahan kepentingan dalam projek pengangkutan P. Pinang

Tiada percanggahan kepentingan dalam projek pengangkutan P. Pinang

Exco turut menolak dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri enggan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan.

Chow-Kon-Yeow
GEORGE TOWN:
Tiada percanggahan kepentingan apabila rakan pelaksana Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP Pulau Pinang), Konsortium SRS menjalankan kajian sendiri mengenai kebolehlaksanaan dan ramalan bilangan penumpang untuk kerajaan negeri.

Exco kerajaan tempatan, pengurusan lalulintas dan tebatan banjir Chow Kon Yeow berkata peranan SRS adalah membantu kerajaan negeri melaksanakan pelan induk itu.

“SRS bukan pemaju swasta dan objektifnya sejajar dengan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT hari ini.

Kon Yeow menjawab isu yang dibangkitkan pengkritik PIP Pulau Pinang, Roger Teoh, seorang pelajar PhD pengajiran pengangkutan di Imperial College di London, yang menulis beberapa artikel mempertikaikan pelan induk itu.

Bulan lepas, Teoh mengumumkan keluar DAP selepas pandangannya berhubung PIP Pulau Pinang tidak dilayan tetapi berhasrat untuk kembali ke parti itu selepas mendapat jaminan akan diberi akses terus kepada kepimpinan kerajaan negeri.

Berhubung ramalan bilangan penumpang, Kon Yeow berkata model permintaan perjalanan – yang turut memuatkan unjuran bilangan penumpang – yang digunakan oleh syarikat kejuruteraan antarabangsa, CH2M, untuk dokumen permintaan cadangan (RFP), berdasarkan kepada model yang dibangunkan untuk Laporan Strategi PIP Pulau Pinang Halcrow.

Menurut Kon Yeow, model permintaan perjalanan itu dijalankan oleh perunding yang sama.

“Kebolehlaksanaan kewangan dan ekonomi berkaitan untuk komponen PIP dalam RFP itu dijalankan oleh perunding profesional terkenal,” katanya.

Katanya, setelah SRS dilantik untuk melaksanakan projek itu, komponen pengangkutan yang dicadangkan dalam RFP sudah melalui beberapa pindaan dan penambahbaikan hasil daripada perbincangan dengan agensi kerajaan negeri.

“Bagi memastikan penilaian yang bebas dan tidak berat sebelah, Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik untuk menjalankan kajian setara ke atas dokumen RFP SRS.

“Ini bagi memastikan semak dan imbang antara kerajaan negeri dan SRS,” katanya, dan menambah proses RFP itu “terbuka kepada orang ramai dan dinilaikan oleh perunding profesional, KPMG.

Beliau menolak dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri enggan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan.

Katanya, banyak mesyuarat dan bengkel berkenaan PIP Pulau Pinang diadakan bersama badan bukan kerajaan, termasuk Penang Forum – gabungan kumpulan sivil Pulau Pinang.

Namun terdapat beberapa “isu besar” dengan cadangan badan bukan kerajaan, kata Kon Yeow, seperti cadangan membina trem permukaan dan laluan bas aliran massa (BRT) permukaan.

Kon Yeow menjelaskan, kerajaan negeri perlu membeli tanah yang mahal untuk membina trem, yang berkapasiti rendah, dan pembinaannya akan menganggu perniagaan kerana ia akan melibatkan pemindaan utiliti dan pembersihan tapak.

Pembinaan BRT permukaan juga bermasalah, katanya.

“Kebimbangan kami adalah menyediakan ruang jalan secukupnya. Sistem BRT tidak praktikal di Pulau Pinang kerana ia akan menyebabkan kos sosial yang tinggi akibat perubahan pada sistem jalan raya,” katanya.

PIP Pulau Pinang merupakan rancangan berbilion ringgit oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan kesesakan trafik yang meruncing. Rancangan itu melibatkan pembinaan lebuh raya baharu, pembinaan laluan keretapi api dan penambahbaikan pengangkutan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.