
“Ia cabaran sukar (memerangi ideologi pelampau) tetapi Malaysia boleh lakukannya kerana dasar kita adalah betul dan kita mempunyai pasukan polis yang baik. (Kini) pihak berkuasa agama perlu bekerja lebih keras,” kata Balakrishnan RK Suppaiah daripada Universiti Malaya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang IS akan terus memberi ancaman besar jika agensi lain, khasnya pihak berkuasa agama tidak memainkan peranan dalam membendung penyebaran ideologi “salafi jihadi”.
Balakrishnan berkata, ideologi pelampau sentiasa adalah masalahnya.
“Lihat trend dalam 1 atau 2 dekad dari era Taliban. Ideologi jenis ini mendominasi dan merebak ke rantau yang mampu melancarkan serangan keganasan, seperti Chechnya, Asia Tengah, Pakistan, Indonesia, dan selatan Thailand. Masalah ideologi wujud selama beberapa dekad.”
Balakrishnan mendakwa ideologi pelampau sering disebarkan secara terbuka di rumah ibadat.
“Sentiasa ada kecenderungan menyebarkan kebencian dan ini sebenarnya tidak eksklusif kepada Islam. Jadi, semua ceramah mesti ditapis dan juga semua penceramah.”
Beliau mengakui disebabkan sensitiviti agama, ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi ia perlu dilakukan dalam cara sama.
“Orang ramai akan mempersoalkan mengapa anda memantau tempat ibadat, jadi ia adalah cabaran sukar, tetapi anda perlu lakukannya kerana kita adalah sebuah negara sederhana.
“Kita menggalakkan kesederhanaan di Asean dan kita mahu jadi contoh baik sebagai sebuah negara Islam.”
Beliau juga menyentuh kemungkinan mengeluarkan fatwa bagi melarang pendakwahan kebencian.
“Pihak berkuasa agama mengeluarkan fatwa. Saya tertanya-tanya jika mereka boleh mengeluarkan fatwa yang menyatakan kebencian terhadap mana-mana kumpulan tidak boleh disebarkan.”
Ayob Khan bertegas ajaran ekstrim Ibn Taimiyyah jadi rujukan IS