
Tan Keng Liang berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu dalam kes Jamaluddin Jaafar dan Affin Bank Bhd di mana cagaran tanah rizab Melayu kepada bank atau institusi kewangan yang tidak disenaraikan dalam Jadual Kedua Enakmen Rizab Melayu Kedah adalah terbatal dan tidak sah.
Ini bermakna semua institusi kewangan yang tidak berada dalam jadual kedua tidak boleh menerima tanah rizab Melayu sebagai cagaran atau gadai janji untuk permohonan pinjaman atau pembiayaan.
Tan berkata, hanya Bank Bumiputra Malaysia Bhd dan Bank Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Agrobank disenaraikan di bawah jadual kedua.
“Bank pertama tidak wujud lagi kerana bergabung dengan Commerce-Asset Holdings. Ia kini dikenali sebagai CIMB Bank Berhad.
“Ini bermakna hanya Agrobank boleh menguruskan gadai janji tanah rizab Melayu sekarang. Tetapi Agrobank hanya menyediakan pinjaman untuk aktiviti pertanian bukannya perumahan,” katanya.
Susulan keputusan itu, Pejabat Tanah dan Galian Kedah mengeluarkan arahan pada 16 November lalu untuk menangguhkan semua urusan pendaftaran gadai janji membabitkan tanah rizab Melayu, kecuali mereka yang berurusan dengan bank disenaraikan dalam jadual kedua.
Arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu menyatakan kerajaan negeri Kedah tidak boleh memperakukan hak milik hartanah rizab Melayu yang dicagarkan kepada bank tidak disenaraikan dalam jadual kedua.
Tan menyifatkan keadaan itu serius kerana ramai yang terjejas akibat keputusan Mahkamah Rayuan itu, sekalipun kes berkenaan masih menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
“Setiap orang yang memiliki tanah rizab Melayu, kecuali mereka yang mempunyai banyak wang tunai dan tidak memerlukan pinjaman bank, terjejas.
“Purata rakyat yang membeli rumah, khasnya golongan muda yang tidak mempunyai banyak simpanan dan pemaju menghadapi masalah.
“Mereka berdepan kemungkinan hilang wang deposit dan lewat menyiapkan projek. Perniagaan dengan projek perluasan juga terjejas jika tanah mereka ialah tanah rizab Melayu,” katanya yang menganggarkan sehingga 80% pemilik tanah rizab Melayu di negeri itu terjejas.
Beliau berkata, lebih 80% tanah di Kedah adalah tanah rizab Melayu dan Kota Setar mempunyai lebih 95% tanah rizab Melayu, termasuk milik orang bukan Melayu.
Tanah rizab Melayu yang dimiliki orang Melayu tidak boleh dijual kepada perniagaan atau kaum lain, namun ia tidak termasuk tanah rizab Melayu milik orang bukan Islam sebelum Enakmen Rizab Melayu Kedah dikuatkuasakan pada 1965.