Mangsa banjir Kelantan kembali meningkat

Mangsa banjir Kelantan kembali meningkat

Jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 1,213 orang pada jam 8.00 malam tadi

kelantan_banjir_600
KOTA BHARU:
Jumlah mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat kepada 1,213 orang daripada 329 keluarga setakat pukul 8.00 malam berbanding 944 orang daripada 263 keluarga pada 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata setakat ini terdapat 511 mangsa daripada 135 keluarga di Kuala Krai, 348 mangsa (94 keluarga) di Jeli, 254 mangsa (76 keluarga) di Tanah Merah, 57 mangsa
(13 keluarga) di Machang dan 43 mangsa (11 keluarga) di Pasir Mas.

“Kesemua mangsa ditempatkan di 26 pusat pemindahan banjir di 5 jajahan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Beliau berkata jumlah itu dijangka meningkat lewat malam ini terutama di Pasir Mas dan Tumpat selepas air sungai dari hulu sampai ke jajahan berkenaan ketika ini.

Sementara itu, menurut laman sesawang kerajaan negeri, ebanjir.kelantan.gov.my, 3 sungai utama di Kelantan terus menunjukkan penurunan paras air pada pukul 8.00 malam berbanding 4.00 petang tadi.

Sungai Galas di Dabong turun kepada 34.33m berbanding 35.10m petang tadi. Paras bahaya bagi sungai itu adalah 38m.

Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 30.74m berbanding 31.26m (paras amaran 35m) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pula pada paras 24.06m berbanding 24.43m (paras amaran 25m).

Bagaimanapun, air Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat ke paras 9.58m berbanding 9.41m, melepasi paras amaran 9m.

Setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.