Khairy: Bawa pulang pingat kalau mahu duit

Khairy: Bawa pulang pingat kalau mahu duit

Menteri Belia dan Sukan beri amaran peruntukan akan dicantas jika atlit gagal menunjukkan prestasi yang baik pada acara dunia akan datang

khairy
PETALING JAYA:
Kegagalan menunjukkan prestasi yang baik pada 2 acara antarabangsa akan datang – Sukan Asia dan Sukan Komanwel – akan menyebabkan peruntukan sukan dicantas, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Dalam wawancara NST yang disiarkan hari ini, beliau berkata: “Selepas Olimpik Rio dan Paralimpik, saya fikir sekiranya prestasi kita buruk di Rio, kita tidak akan diberi peruntukan yang besar untuk Sukan SEA.”

Tahun lepas di Olimpik Rio, Malaysia menang 4 pingat perak dan 1 gangsa, kejayaan terbaik negara di sukan Olimpik setakat ini. Malaysia juga menang 7 pingat di Paralimpik, 2 perak dan 5 gangsa

Khairy berkata: “Kalau kita gagal bawa pulang pingat, perdana menteri tidak akan beri peruntukan yang besar untuk Sukan SEA. Jadi saya fikir kejayaan akan membawa lebih banyak pelaburan, jadi kita perlu terus capai kejayaan.”

Beliau berkata prestasi di 2 acara antarabangsa akan datang sangat penting.

“Untuk 2018, kita perlu buktikan atlit negara boleh capai sasaran Sukan Asia dan Komanwel. Jika tidak, saya tak terkejut kalau peruntukan sukan dikurangkan,” katanya.

Dalam temubual itu, Khairy menyentuh kebimbangan terbesar beliau pada 2016, iaitu penyalahgunaan dadah.

“Saya beri amaran yang keras kepada atlit Sukan SEA, saya tidak mahu ada sebarang kes penyalahgunaan dadah dalam tahun 2017,” katanya. Beliau juga bersedih dengan kes penyalahgunaan dadah semasa Sukan Malaysia yang membabitkan atlet muda.

Khairy mahu memperkukuhkan Agensi Anti Doping Malaysia (Admas) dan berusaha menjadikan agensi itu badan berkanun dengan kuasa tersendiri.

“Saya harap kerajaan beri lampu hijau untuk menjadikan Adamas satu keutamaan supaya isu penyalahgunaan dadah boleh diselesaikan secara berstruktur.”

Tahun lepas, 4 atlet yang menang pingat di Sukan Malaysia 2016 pada Julai dilaporkan positif bahan terlarang.

Empat atlet itu termasuk seorang pengangkat berat, seorang peninju dan dua pemanah yang bertanding dalam pertandingan bawah 21 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.